Tiram putih di muara Sungai Muar disahkan spesies baharu

Iklan
Penyelam bersedia untuk menyelam ke dasar sungai untuk mengambil tiram. (Gambar Kiri) Rupa kulit tiram Crassostrea (Magallana) saidii (kiri) manakala isinya berwarna putih krim.

SHAH ALAM - Spesies tiram yang dikenali sebagai tiram putih atau nama saintifiknya, Crassostrea (Magallana) Saidii telah disahkan sebagai spesies baharu yang hanya terdapat di muara Sungai Muar, Johor.

Penyelidik daripada Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Leena Wong berkata, kerjasama penyelidikan antara UPM dan Queen's University Belfast mengesahkan bahawa spesies itu tidak terdapat di kawasan lain di dunia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, spesimen Crassostrea (Magallana) Saidii yang dikenal pasti oleh nelayan tempatan itu disahkan identitinya melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Spesies ini dikenali sebagai tiram putih dalam kalangan penduduk dan nelayan tempatan kerana isinya yang berwarna putih krim dan berkualiti tinggi.

Iklan

"Ia lebih mendapat sambutan penggemar tiram berbanding spesies Crasssotrea Belcheri (tiram kapak) yang memiliki kulit lebar manakala isinya berwarna kelabu, coklat, juga boleh dijumpai di muara Sungai Muar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Untuk makluman, spesies tersebut mendapat perhatian Nur Leena apabila seorang penduduk tempatan, Md Saidi Mohamed menghubungi UPM pada tahun 2017 mengenai masalah populasi tiram yang semakin berkurangan di muara Sungai Muar.

Iklan

Mengulas lanjut, Nur Leena berkata, hasil usaha Md Saidi dalam memelihara warisan semula jadi, pasukan UPM dapat memahami biologi dan ekologi spesies unik itu dengan lebih mendalam.

"Walaupun spesies tiram sukar dikenal pasti melalui morfologi luaran, penyelam tiram tempatan yang berpengalaman dapat membezakannya.

"Saya kagum dengan ketepatan penyelam tiram dalam membezakan spesies tersebut. Spesimen yang dikenal pasti oleh mereka telah disahkan identitinya melalui ujian DNA, sekali gus membuktikan kepentingan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki warga tempatan membawa pada penemuan saintifik,” katanya.

Nur Leena menunjukkan bahagian luar dan dalam tiram Crassostrea (Magallana) Saidii.

Menurutnya, tiram itu dinamakan Crassostrea (Magallana) Saidii sebagai mengiktiraf usaha Md Saidi mempromosikan penyelidikan dan pemuliharaan spesies tiram berkenaan.

Tambah Pensyarah Kanan Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM itu, penyelidikan bersama rakan penyelidik daripada Queen's University Belfast, Dr Julia Sigwart bermula dengan pengambilan sampel pada 2017 sebelum kajian biologi kitar pembiakan pada 2018 dan 2019.

"Kami mengumpul dan membandingkan data dengan koleksi data berkaitan tiram yang terdapat di muzium di United Kingdom dan spesies yang terdapat di Asia, lalu mendapati tiada rekod DNA yang sama dengan tiram putih tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Nur Leena berkata, fokus penyelidikan kini adalah kepada pembenihan tiram itu melalui pendekatan akuakultur untuk memperbanyakannya.

Ujarnya, mereka turut mengenal pasti kualiti dan kadar kemasinan air yang paling sesuai untuk pembiakan Crassostrea (Magallana) Saidii.

"Pada masa ini ia hanya hidup di muara Sungai Muar dengan kemasinan air lapan hingga 25 ppt (ukuran kemasinan) dan tidak boleh hidup dalam air laut.

"Pemuliharaan populasi kecil tiram ini amat diperlukan untuk memastikan kelestariannya,” kata beliau.