KUCHING - Kerajaan Sarawak akan terus mengutamakan kelestarian dalam agenda pembangunan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, ketika ini beberapa inisiatif yang memfokuskan kepada kelestarian telah dilaksanakan di Sarawak termasuk menggalakkan ekonomi hidrogen.
"Saya berharap hala tuju ini akan meletakkan Sarawak sebaris dengan global terutamanya dalam usaha mengekalkan kelestarian dalam pelan pembangunan kita,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak antara Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation dan Sarawak Shell Bhd di sini pada Rabu.
Kontrak itu adalah untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi kerja-kerja struktur luar pesisir tetap untuk pembangunan lapangan gas Timi Shell yang terletak kira-kira 200 kilometer luar pesisir Miri.
Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau gembira lapangan Timi adalah lapangan sweet gas yang ditemui pada 2018, adalah platform kepala telaga pertama Shell di Malaysia yang dikuasakan sistem tenaga boleh diperbaharui hibrid solar dan angin.
"Saya ingin memuji Shell kerana memulakan langkah berani ini yang selaras dengan agenda ekonomi hijau negeri dan bagaimana kita boleh bergerak ke arah peralihan tenaga yang lebih cepat.
"Saya juga menantikan pelaburan Shell akan datang di Bintulu untuk loji gas darat dan satu lagi kemudahan di luar pesisir pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya. - Bernama