SHAH ALAM - Polis sedang mengesan individu terlibat dalam video tular memaparkan sebuah motosikal digilis treler berpunca daripada kanvas sebuah lori sampah yang tercabut.
Klip video kamera papan pemuka berdurasi 15 dan 27 saat itu tular di media sosial pada Rabu memaparkan ikatan kanvas dari sebuah lori sampah tertanggal sebelum melayang dan tersangkut pada sebuah motosikal dinaiki dua individu.
Ia menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan kerana mukanya tertutup dengan kanvas tersebut sebelum terbabas ke sebuah treler minyak di sebelah kiri.
Penunggang dan pembonceng motosikal bagaimanapun bernasib baik kerana hanya motor yang digilis, manakala kedua-duanya tercampak di tepi jalan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, laporan dibuat oleh JSPT Sepang selepas video tersebut dikesan sekitar jam 11 malam Rabu.
"Semakan mendapati rakaman video tersebut menunjukkan satu kemalangan yang berlaku dalam daerah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang iaitu Kilometer 33.5 Jalan Puchong/Cyberajaya/Dengkil berhampiran susur menghala ke arah Kajang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Azman bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima laporan daripada individu yang terlibat dalam kejadian itu.
"Nombor pendaftaran bagi semua kenderaan terlibat dalam kemalangan ini masih boleh dapat dipastikan lagi.
"Pihak polis sedang mengesan pemilik video papan pemuka dan semua pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut," jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.