YAN - Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada malam Khamis.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengumuman calon akan dibuat secara dalaman kepada pimpinan Amanah di negeri itu.
"Kita mendapat sembilan kerusi dan pada malam ini, Presiden akan membuat pengumuman calon secara dalaman kepada pimpinan Amanah di Melaka," katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau keadaan lokasi jambatan runtuh di Kampung Setol di sini pada Khamis.
Jambatan berkenaan runtuh akibat tragedi kepala air Titi Hayun pada 18 Ogos lalu.
Mahfuz berkata, Amanah telah mempersiapkan jentera bagi melancarkan PRN Melaka pada 20 November ini.
"Persiapan telah digerakkan, jentera daripada negeri pembantu sudah mula turun untuk memastikan pilihan raya dapat berjalan lancar," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dianggap sebagai tidak munasabah.
"Tak boleh kempen, kalau kempen kena denda. Sepatutnya SOP munasabah yang perlu digunakan adalah SOP Pilihan Raya Kecil (PRK) di Slim dan PRK Chini. Maknanya kita boleh pergi ke rumah tetapi hanya beberapa orang sahaja, tak boleh ikut ramai-ramai.
"Contohnya, kalau menteri turun ke pasar, tak perlu jentera turun ke pasar. Ramai orang dan ini akan menyebabkan risiko jangkitan Covid-19," kata beliau.