KUALA TERENGGANU - Seorang tukang cat ditemukan meninggal dunia di bawah runtuhan struktur bangunan dalam kejadian di Kampung Bukit Depu di sini pada Khamis.
Mangsa, Ahmad Khairi Mohamad, 38, yang bekerja sebagai tukang cat ditemukan orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu kira-kira jam 8 pagi.
Adik mangsa, Mohd Suhaimi Mohamad, 34, berkata, lokasi mangsa diketahui susulan penemuan motosikalnya yang diparkir berhampiran kawasan itu.
Katanya, selain penemuan motosikal, ibunya, Maimunah Abdullah, 69, turut meluahkan rasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi abangnya itu sejak petang Rabu.
"Dekat 20 kali emak menelefon abang sejak petang Rabu, namun tiada sebarang jawapan. Kami semua runsing kerana arwah jarang tidak mengangkat telefon.
"Tak sangka pula rupanya arwah ditimpa kemalangan. Saya dapat tahu kejadian ini kira-kira jam 9 pagi tadi selepas ada pihak yang menularkan gambar penemuan motosikal dan mayatnya di media sosial," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Suhaimi berkata, arwah yang merupakan anak keenam daripada 12 adik beradik dipercayai berteduh di bawah struktur bangunan itu untuk berlindung daripada hujan lebat sebelum ditimpa kemalangan.
"Biasanya abang saya akan pulang ke rumah di Chendering selepas habis kerja jam 5 petang.
"Namun, arwah dipercayai singgah di kawasan itu untuk berteduh kerana hujan lebat sebelum ditimpa struktur bangunan yang telah reput," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya itu pada malam Selasa lalu selepas diminta untuk menghantar nasi minyak.
"Abang saya belum berkahwin dan tinggal berseorangan di rumah pusaka di Chendering.
"Ketika bertemu pada malam Selasa lalu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan hanya menyatakan keinginan kepada saya untuk makan nasi minyak," katanya.
Mayat Ahmad Khairi dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan akan dikebumikan malam Khamis.