ALOR SETAR - Penduduk di beberapa buah kampung di daerah Kota Setar bimbang berikutan banjir yang melanda Kedah tahun ini dilihat agak luar biasa mengingatkan mereka kepada banjir besar pada tahun 2010.
Salah seorang mangsa banjir, Habsah Mohd Med, 58, berkata, dia risau melihat keadaan rumahnya di Perumahan Polis Taman Derga Jaya di sini yang ditenggelami air hingga paras 0.3 meter (m).
Habsah berkata, dia sebelum itu menyangka air yang naik sehingga menenggelamkan beberapa perabot dalam rumahnya sejak beberapa hari lalu akan surut berikutan paras air semakin rendah pada pagi Rabu.
"Bagaimanapun air naik semula secara tiba-tiba pada jam 4 petang sehingga saya tidak sempat berbuat apa-apa dan terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Convent disebabkan keadaan makin teruk.
"11 tahun air tidak naik, kali ini air naik semula seakan-akan banjir 11 tahun lepas menyebabkan saya takut keadaan berulang kembali,” katanya Khamis.
Habsah berkata, bilangan mangsa banjir di PPS berkenaan juga didapati meningkat sekali gus menunjukkan keadaan paras air akibat banjir semakin tinggi sehingga menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tajar yang juga Pengurus PPS Darul Hikmah, Mohd Amran Hanafiah berkata, seramai 118 mangsa termasuk empat bayi ditempatkan di PPS SK Darul Hikmah.
"Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Alor Binjal, Kampung Kuar, Kampung Padang, Alor Semela, Alor Sekawan, Batu 8 dan Kilometer 14, Jalan Jelai mukim Tajar di sini,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua mangsa banjir mendapat layanan terbaik seperti penyediaan makanan empat hari sehari yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS Darul Hikmah.