SEMPORNA - Aktiviti riadah seorang wanita bersama rakan mendaki bukit di pulau Bohey Dulang di sini semalam, berakhir tragedi apabila mangsa disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.
Dalam kejadian jam 10.13 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Rozlina Sharina Rosedi, 40 tahun, dikatakan mengalami sakit dada dan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian disedari kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) yang terus memberi bantuan kecemasan.
Katanya, mangsa dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas yang merawat mangsa.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Katanya, mangsa adalah seorang penjawat awam yang berasal dari Kuala Lumpur. - Awani