KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diperoleh secara tidak sah dalam serbuan Op ID Hack di sebuah kondominium mewah di sini, pada Rabu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 30 tahun itu berjaya menyewa lot kedai di sebuah pasar raya dengan menggunakan PLKS palsu tersebut dan menjalankan perniagaan memborong serta menjual barangan komputer.
"Operasi penguatkuasaan ini adalah merupakan siri operasi ‘Op ID Hack’ untuk memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu dari sindiket ID Hack," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Khairul Dzaimee berkata, hasil siasatan mendapati, suspek turut menipu pelanggan dengan menyamar sebagai warga Pakistan.
"Suspek dikenali sebagai ‘Ali’ dalam kalangan warganegara Pakistan dan sebagai ‘Munsi Jewel’ oleh warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman yang dihuni oleh suspek dan isteri," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menahan isteri suspek yang merupakan seorang wanita warganegara Indonesia berusia 44 tahun dalam serbuan tersebut.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 15/63 (Akta 155) dan kedua-dua mereka ditahan di bawah sek.51(5) (b) serta ditangkap di bawah sek.51(3) akta sama. Mereka ditahan di depoh tahanan Imigresen Semenyih," katanya.