Bil makan siakap harga RM1,196 seekor tular di media sosial

Iklan
Bil dimuat naik netizen memaparkan harga seekor ikan siakap RM1,196.80 dikenakan sebuah restoran di Langkawi. (Kanan: Pemilik restoran memuat naik kenyataan menjelaskan hal sebenar di laman sosial Facebook.)

ALOR SETAR - Sekeping resit bil yang memaparkan harga hidangan ikan siakap mencecah ribuan ringgit didakwa di sebuah restoran di Langkawi tular dipercayai selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook ke platform media sosial tersebut.

Dia dipercayai pelanggan yang datang makan di sebuah restoran terapung di Langkawi pada 3 Oktober lalu dan telah memuat naik ke platform media sosial bil yang memaparkan harga hidangan seekor ikan siakap didakwa terlalu mahal dikenakan oleh peniaga.

Iklan
Iklan

Berdasarkan bil tersebut ikan siakap seberat 7.48 kilogram (kg) yang dipesan pelanggan itu untuk tujuh individu berjumlah RM1,196.80 bagi hidangan makan tengah hari.

Berdasarkan bil tersebut, jumlah keseluruhan bil adalah RM1,852.50 termasuk hidangan ikan siakap, ayam kicap, telur dadar, kailan, ketam, udang dan minuman.

Iklan

"Selepas mengelilingi beberapa pulau di Langkawi, kami dibawa ke salah sebuah restoran untuk makan tengah hari. Seperti kebiasaan kami memesan menu yang biasa ditempah di mana-mana kedai tomyam.

"Secara kebiasaan, untuk tujuh orang makan, dua ekor siakap sudah memadai, maka kami pun tempah dua ekor ikan untuk tujuh orang makan berserta menu-menu yang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Menurutnya, salah seorang pelayan restoran datang bagi mengesahkan saiz ikan dan mereka bersetuju untuk mengambil seekor ikan sahaja berdasarkan anggaran saiz.

"Masa itu, jangkaan harga yang perlu dibayar ialah sekitar RM700 hingga RM800 sahaja namun meleset apabila harganya mencecah RM1852.50,” dakwa individu tersebut.

Setakat Khamis, perkongsian pelanggan tersebut mendapat perhatian netizen apabila ia dikongsi lebih 6,300 warganet serta mendapat lebih 4,300 komen.

Berdasarkan semakan semula pada Jumaat pula mendapati, posting tersebut masih mendapat pelbagai reaksi apabila ia dikongsi lebih 6,900 wargamet serta mendapat lebih 4,700 komen.

Dalam pada itu, satu kenyataan turut dimuat naik di media sosial dipercayai berkaitan isu bil berkenaan.

Menurut kenyataan itu, individu tersebut mendakwa telah menerangkan kepada pelanggan berkenaan saiz ikan yang besar kerana ikan tersebut merupakan ikan pertunjukan di sangkar ikan mereka yang kebiasaannya tidak dijual.

Menurut individu itu, dia mencadangkan kepada pelanggan dan ahli keluarganya untuk mengambil ikan yang lain untuk ditempah seperti ikan merah dan kerapu yang saiznya sekitar satu hingga 1.5 kilogram (kg).

Katanya, namun pelanggan tetap inginkan ikan siakap dijadikan pertunjukan walaupun telah diberitahu ikan tersebut bersaiz mega.

"Apabila kami telah tangkap ikan siakap itu menggunakan tali pancing dan panggil pelanggan untuk melihat saiz ikan semasa beliau di meja makanan, tetapi pelanggan menolak untuk melihat saiz ikan dan minta kami meneruskan tempahan dibuatnya.

"Berkenaan dengan anggaran saiz ditunjukkan oleh kami yang dikatakan memanipulasi saiz ikan, pihak kami telah anggarkan ikan itu dan menunjukkan anggaran saiz ikan memang besar dan disebabkan itu pelanggan hanya mengambil seekor ikan sahaja tetapi dia masih teruskan tempahan," katanya.

Individu tersebut turut menafikan ada mengenakan caj tambahan sebanyak lima peratus bagi pembayaran menggunakan kad kredit seperti didakwa pelanggan tersebut.

Menurutnya, bil ditunjukkan itu hanya satu bil sedangkan terdapat dua helai resit bagi pesanan pelanggan tersebut iaitu yang pertama sebanyak RM1759.50, kemudian RM93.