JELEBU - Sebanyak RM124,163.59 nilai jualan berjaya dihasilkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan menerusi jualan MyRakyat untuk lapan bulan pertama tahun ini.
Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ia melibatkan penyertaan 263 usahawan di enam lokasi berbeza di seluruh negeri tersebut.
"Jumlah bilangan pengunjung melalui program ini yang dilaksanakan sejak bulan Mac hingga Oktober lalu adalah seramai 4,869 orang.
"Ia membabitkan kekerapan program sebanyak 14 kali iaitu tiga program di Tampin, tujuh di Port Dickson dan masing-masing satu program di Seremban, Rembau dan Jempol," katanya kepada pemberita selepas selesai Program MyRakyat di pekarangan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, pada Jumaat.
Menurutnya, pengguna memperoleh barang keperluan dan produk segar secara terus daripada pengeluar tanpa melalui orang tengah.
"Bagaimanapun fungsi tersebut diambil alih oleh FAMA tanpa mengambil sebarang keuntungan iaitu dengan hanya menjadi penghubung.
"Pada masa sama MyRakyat dapat membuka ruang pasaran lebih luas untuk usahawan-usahawan memasarkan hasil pertanian serta produk makanan secara terus ke premis, pejabat, kawasan perumahan atau tempat tumpuan dengan produk yang dijamin berkualiti serta selamat untuk dimakan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, FAMA Negeri Sembilan menyasarkan 300 pengunjung dan menganggarkan nilai jualan berjumlah RM12,000 pada Program MyRakyat di Jelebu.
"Saya yakin semua usahawan dapat meningkatkan kecekapan pemasaran hasil pertanian secara bergerak, bersifat komersial dan lebih sistematik," katanya.