KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Keseniaan dan Kebudayaan (ARCA) untuk menasihati kementerian itu berkaitan diplomasi kebudayaan.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jawatankuasa tersebut akan dilantik melibatkan golongan tokoh falsafah dan tokoh sastera.
"Hari ini, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan telah bersetuju untuk jadi salah seorang anggota ARCA.
"Beberapa orang lagi akan kita lantik dan saya sedang melamar mereka termasuk tokoh-tokoh. Tugas mereka adalah menasihati kami,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Program Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Awang Sariyan; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah dan Setiausaha Kebudayaan Pejabat Menteri Luar Negeri, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perbincangan bersama DBP dan ITBM adalah berkaitan mengantarabangsakan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan negara ini.
Jelasnya, terdapat tiga perkara yang boleh dilaksanakan oleh KLN iaitu kerjasama dari segi bahasa dan persuratan Melayu yang merentas negara.
Selain itu, KLN juga akan memberikan kursus bahasa dan budaya Malaysia di kedutaan-kedutaan Malaysia yang melibatkan di seluruh negara.
"Dana tambahan akan diberikan bagi menyediakan kursus untuk anak-anak perwakilan. Kita juga akan tawarkan kursus Bahasa Melayu kepada pegawai diplomatik negara luar yang bakal bertugas di Malaysia.
"Akhir sekali, kita akan menempatkan pegawai kebudayaan yang meliputi soal pendidikan, bahasa, kebudayaan bermula di kedutaan-kedutaan utama Malaysia.
"Jadi akan ada pegawai yang menjaga diplomasi kebudayaan ini. Kita akan bermula dengan skala kecil kerana kekangan dana,” ujarnya.
Beliau mengharapkan agar struktur tersebut dapat diselesaikan sebelum akhir tahun 2021 dan pertemuan serta mesyuarat juga akan diadakan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
"Ini yang boleh kami mulakan kerana melibatkan kedutaan yang khusus. Ada beberapa yang lain kami bincangkan dan akan disusuli dengan perbincangan di peringkat pegawai.
"Mudah-mudahan kita dapat lipat gandakan usaha untuk pengantarabangsaan bahasa dan kebudayaan di persada antarabangsa,” tambahnya.
Sementara itu, Awang Sariyan menyokong gagasan diplomasi kebudayaan yang ditubuhkan itu.
"Kita harap dengan gagasan ini kita juga akan dapat mengangkat kebudayaan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Sakri Abdullah pula berkata, ITBM akan membantu KLN dengan menerbitkan buku yang boleh digunakan sebaik mungkin di dalam dan luar negara.
"Saya di pihak ITBM menyambut baik pemakluman yang berhormat menteri dalam silang budaya dan penerbitan buku ini,” katanya.