TONGGAK tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek mengakui teruja dengan minit permainan yang diberikan pengurus The Blues, Thomas Tuchel untuk membuktikan keupayaannya bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut musim ini.
Malah menurut pemain berusia 25 tahun itu, musim ini dia juga gembira apabila memanfaatkan empat penampilan dalam kesemua kejuaraan bersama kelab yang dibarisi dalam kalangan pemain berkualiti.
"Saya akan cuba untuk terus mengembangkan potensi diri bersama kelab ini dalam meraih keputusan positif dalam perlawanan pada masa depan. Sejujurnya saya amat gembira kerana minit permainan diberikan Thomas Tuchel.
"Saingan dalam kelab ini begitu hebat kerana dibarisi dalam kalangan pemain berkualiti, namun saya tetap bersyukur dengan masa di atas padang yang saya ada dan saya hanya akan terus memberikan yang terbaik,” katanya.
Tuchel sebelum ini memuji persembahan Loftus-Cheek ketika menentang Malmo dalam perlawanan Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara di Stadium Eleda baru-baru ini.
"Dia terlibat dalam banyak serangan berbahaya dan saya sangat menyukai Ruben.
"Dia menunjukkan potensinya, kami semua percaya kepadanya dan kini terpulang kepada dia untuk menunjukkan konsistensi untuk berjuang masuk ke dalam pasukan secara tetap,” ujar Tuchel.
Anak buah Tuchel yang kini memimpin liga akan berdepan Burnley di Stadium Stamford Bridge pada Sabtu.