Projek B10 bakal lahirkan ‘manusia’ terpantas negara

Iklan
Noraini Ahmad

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) membuka lembaran baharu sejarah sukan olahraga negara apabila melancarkan projek larian 100 meter bawah 10 saat atau dikenali sebagai Projek B10.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, projek khas bagi permulaan lima tahun pertama itu bertujuan untuk melahirkan kelompok pelari pecut terpantas negara yang mampu memecahkan tembok halangan masa untuk berlari dengan catatan di bawah sepuluh saat.

Iklan
Iklan

Katanya, ia juga merupakan satu daripada Program Bitara KPT yang disifatkan berimpak tinggi dan mempunyai tempoh waktu sasaran yang lebih panjang selain mampu meningkatkan visibiliti kementerian serta rakan-rakan strategik seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Walaupun ini suatu cabaran yang sukar, namun saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari dengan keupayaan luar biasa melalui bimbingan terbaik serta kepercayaan tinggi yang diberikan oleh KPT. Kalau boleh kita mahu jadi negara yang pertama di Asia Tenggara berjaya memecahkan tembok halangan ini.

Iklan

"Projek rentas kementerian dan agensi ini juga boleh diangkat sebagai projek nasional yang mempunyai objektif serampang dua mata.

"Di samping menyasarkan untuk memecah catatan masa di bawah 10 saat, KPT percaya di sepanjang perjalanan itu, Malaysia akan dapat melahirkan kelompok pelari pecut yang menguasai acara larian 100 meter dan juga acara larian berganti-ganti di peringkat Asia Tenggara dan Asia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran B10 secara atas talian di Facebook Rasmi KPT pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, projek khas itu juga mendapat sokongan padu daripada beberapa pelari pecut negara dan jurulatih pecut kebangsaan.

"Saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari di bawah masa sepuluh saat sekiranya mendapat bimbingan yang baik dan diberikan tumpuan khas,” kata bekas pemegang rekod kebangsaan acara larian 100 meter, Watson Nyambek.

Bagi ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Mansahar Abdul Jalil berkata, beliau turut yakin dengan kemampuan jurulatih-jurulatih pecut kebangsaan yang ada, diperkukuhkan lagi dengan bimbingan oleh bekas-bekas pelari pecut negara, tidak mustahil negara mampu melakar sejarah menerusi acara riben biru itu.

Pemilihan pelatih-pelatih untuk ditempatkan dalam projek itu dijangka bermula pada bulan Februari 2022 dengan had umur 18 hingga 22 tahun.

Pelatih-pelatih juga perlu melepasi empat ujian utama yang ditetapkan selain akan menjalani tempoh latihan antara satu hingga lima tahun dan menerima elaun bulanan sepanjang berada dalam program khas tersebut.