Lebih 200 hadiri majlis kesyukuran Hari Keputeraan Sultan Nazrin

Iklan
Jemaah membaca surah Yasin pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-65 di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Lebih 200 jemaah menghadiri majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang ke-65 di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini pada Jumaat.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah turut berkenan berangkat pada majlis yang bermula kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Iklan
Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat dipimpin Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dan disusuli solat Jumaat dihadiri kira-kira 500 jemaah diimamkan oleh Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharuddin.

Raja Jaafar (tengah) dan Raja Iskandar Dzulkarnain (belakang, tengah) berkenan berangkat menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Bernama

Iklan

Badrul Husaini sebelum itu membacakan khutbah khas sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang bertajuk ‘Raja Pemerintah; Payung Kedaulatan Negara’.

Dalam khutbah itu, Badrul Husaini berkata, rakyat Perak amat beruntung kerana dianugerahkan seorang Sultan yang berjiwa ilmuan selain menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat insani, peka kepada rintihan rakyat dan berusaha memastikan berlakunya keadilan berlandaskan hukum.

Iklan

Beliau berkata, seiring gelaran Muizzuddin Shah pada Sultan Nazrin, ‘muizzuddin’ bermaksud ‘pemerkasa agama’, dengan berpandukan keinsafan baginda bahawa kuasa pemerintahan ialah amanah daripada ALLAH, didoakan semoga syiar Islam akan berkembang dan pemerintahan baginda didaulatkan dengan roh Islam.

Majlis bacaan Yasin dan doa selamat itu merupakan acara tahunan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak yang ditetapkan pada Jumaat pertama dalam bulan November.

Majlis kesyukuran serupa turut diadakan serentak di masjid-masjid seluruh Perak. - Bernama