HADIAH seunit kondominium bernilai RM500,000 di SkyMeridien Residences @ Sentul East daripada pemaju hartanah SkyWorld Development Group (SkyWorld) menanti pembeli bertuah dalam kempen jualan hebat 11.11 Shopee pada 11 November ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, pembeli hanya perlu bermain permainan Tekan & Menang Kondo di Shopee dan mengumpul seberapa banyak tiket emas untuk berpeluang memenangi rumah tersebut.
"Ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk memenangi unit SkyMeridien Residences yang terletak di kawasan mewah Sentul East. Pembangunan ini disasarkan untuk siap awal tahun depan dan ia pastinya hadiah terbaik untuk memulakan tahun baharu.
"SkyMeridien ini berkonsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) kerana ia dihubungkan dengan Stesen LRT Sentul Timur melalui laluan pejalan kaki dan ini akan memberi kemudahan kepada penduduk," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hadiah kondominium itu adalah salah satu inisiatif SkyWorld Development untuk menyediakan rumah yang selesa memandangkan rakyat di negara ini lebih banyak menghabiskan masa di tempat tinggal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga selepas PKP berakhir.
"Semasa semua aktiviti terpaksa dihentikan akibat PKP, rumah memainkan peranan penting sebagai tempat tinggal, bermain, belajar, bekerja dan juga membeli-belah. Kami melihat perubahan ini akan kekal dan mahu menjadikan pengalaman di rumah sebagai sesuatu yang amat bermakna," katanya.
SkyMeridien Residences terletak di lokasi yang strategik dalam jarak beberapa kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur selain dikelilingi kawasan kejiranan terkenal dan dengan kemudahan yang banyak.
SkyMeridien mempunyai 780 unit kondominium yang dibina dengan unit antara 581 kaki persegi dan 1,318 kaki persegi selain direka sebagai pembangunan keluarga bukan sahaja sebagai tempat tinggal tetapi juga sebagai taman permainan selain taman belakang rumah yang penuh dengan kehijauan.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, pihaknya teruja dengan kolaborasi bersama SkyWorld dan menyifatkan hadiah kondominium bernilai RM500,000 itu adalah yang terbesar pernah diberikan kepada pengguna di platform membeli-belah Shopee.
"Ia memberikan pengalaman membeli-belah dalam talian berbeza kepada pengguna Shopee dalam kempen 11.11 yang akan datang. Komitmen berterusan SkyWorld dalam menyediakan rumah yang berkualiti sememangnya tiada tandingan dan kami mengharapkan lebih banyak lagi kerjasama pada masa akan datang," jelasnya.