Tebing longkang runtuh akibat air pasang besar

Iklan
Kawasan Taman Harmoni dinaiki air pada jam 4.30 pagi dan surut sekitar jam 8 pagi.

KUALA LANGAT - Tebing longkang besar di jalan utama berhadapan Pantai Kelanang, di sini runtuh akibat limpahan air pasang yang deras pada pagi Jumaat.

Setiausaha Skuad MPKL merangkap Ketua Operasi Skuad Pantas yang bertugas pada pagi Jumaat, Norhisham Othman berkata, operasi pemantauan dibuat bermula jam 5.10 pagi hingga 10 pagi di beberapa kawasan persisiran pantai yang berpotensi dinaiki air.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi disertai oleh seorang pegawai dan lima anggota tersebut mendapati berlaku limpahan air pada jam 5.30 pagi di Pantai Kelanang, Istana Bahagia Morib, Taman Harmoni dan Pantai Chunang, di sini.

Limpahan air deras di Pantai Kelanang pada awal pagi Jumaat.

"Limpahan air deras di Pantai Kelanang menyebabkan tebing longkang besar di jalan utama yang baru dibaiki pada Oktober lalu runtuh.

Iklan

"Laporan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat untuk agensi berkaitan mengambil tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Norhisham berkata, limpahan air juga berlaku di Pantai Baru Morib berdekatan Markas PGA Pantai Baru Morib.

Iklan
Norhisham

Ujarnya, insiden tersebut turut berlaku di Istana Bahagia Morib, Pantai Baru Morib dan Pantai Kelanang pada jam 7 pagi dan telah surut sepenuhnya.

"Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan operasi turut mendapati tiada orang awam dikesan di lokasi-lokasi berkenaan," katanya.

Sementara itu, penduduk di Taman Harmoni, Morib di sini turut terkesan dengan fenomena air pasang berlaku sejak Khamis, apabila ketinggian air meningkat lebih tinggi berbanding hari sebelumnya.

Tebing longkang besar di jalan utama berhadapan Pantai Kelanang runtuh akibat limpahan air pasang yang deras pada pagi Jumaat. - Foto Skuad Pantas MPKL

Seorang penduduk, Zaiton Mat Kilau, 58, berkata, dia memasang kanvas di pagar rumahnya untuk mengelakkan limpahan air masuk ke dalam rumahnya pada pagi Jumaat.

Zaiton

Bagaimanapun, langkah tersebut gagal menghalang air daripada memasuki kawasan parkir rumahnya kerana dia tidak menjangka air meningkat pada paras buku lali walaupun tiada hujan.

"Jika limpahan air terus meningkat, saya perlu memasang jala pada kolam ikan di rumah untuk mengelakkan ikan-ikan terlepas ke luar," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nurhaslinda Mohd Salleh, 48, berkata, kawasan rumahnya dinaiki air sekitar jam 4.30 pagi dan mulai surut empat jam kemudian.

Nurhaslinda

Jelas beliau, limpahan air pada pagi Jumaat tidak masuk ke dalam rumahnya dan hanya memenuhi jalan dan bahagian parkir kereta.

"Air pasang pada Jumaat tidak tinggi sangat. Dengarnya esok dan lusa air pasang diramalkan lebih teruk, tapi saya tidak pastilah tentang itu," katanya.