JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan menyokong usaha diambil Majlis Aids Malaysia (MAC) dalam memastikan penghidap HIV/AIDS yang bekerja dan telah mendapat rawatan, tidak didiskriminasikan oleh rakan sekerja mereka.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, sokongan itu berikutan pihaknya tahu mana-mana pesakit yang telah mendapatkan rawatan HIV/ AIDS tidak memberi ancaman jangkitan kepada mereka yang berada di sekelilingnya.
"Jadi kita berharap perbuatan mendiskriminasikan mereka dihentikan. Pada masa sama, kita menyokong usaha dilakukan MAC," katanya sebagai mengulas laporan yang menyebut MAC sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung dasar yang akan menentukan penghidap HIV/ AIDS tidak didiskriminasikan dalam sektor pekerjaan.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz.
Pada 21 November lepas, Menteri Sumber M. Kula Segaran juga dilaporkan berkata, kerajaan ada cadangan untuk mewujudkan dasar berhubung larangan diskriminasi itu agar golongan yang berkenaan tidak tertindas dalam sektor pekerjaan.
Menurutnya, setakat ini, Malaysia, tidak mempunyai undang-undang berkaitan perkara itu.
Berhubung isu lain, Dr Boon Chye berkata, negara ini masih lagi berhadapan risiko jangkitan HIV/AIDS kerana tingkah laku berisiko seperti melakukan seks bebas, masih berlaku dalam kalangan rakyat.
Katanya, pada tahun lepas sahaja, sebanyak 3,347 kes baharu dilaporkan dengan majoritinya mereka yang berusia antara 20 hinggga 49 tahun.
Justeru itu, usaha mencegah dan memberikan rawatan bersesuaian perlu ditingkatkan bagi membendungnya secara berkesan.
Katanya, ini selaras dengan matlamat kementerian untuk melihat pengurangan terhadap jangkitan baru HIV pada 2030 iaitu tidak melebihi sebanyak 900 kes selain memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka dan menerima rawatan antiretroviral (ARV).
"Akses (rawatan) kepada mereka bukan satu masalah kerana di klinik-klinik kesihatan ada rawatan-rawatan bersesuaian disediakan. Saya rasa mungkin terdapat salah tanggapan dan juga yang enggan kerana penghidap HIV ini tidak mempunyai simptom.
"Oleh itu, mereka fikir mereka sihat dan salah anggap, sebab itu masih terdapat mereka yang tidak mendapatkan rawatan," katanya. - Bernama