KUANTAN - Sebanyak 19,686 saman dikeluarkan ke atas pemandu dan penunggang di Pahang membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu atau lesen tamat tempoh sepanjang tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, angkanya sudah mencecah 3,642 saman.
Menurutnya, Kuantan mencatatkan kes tertinggi iaitu 6,314 saman diikuti Raub, 2,980 saman , Bentong, 2,251 saman, Jerantut 1,662 dan Temerloh, 1,470 saman bagi tempoh tahun lalu.
"Untuk tahun tempoh dua bulan tahun ini, Kuantan mencatatkan 1,201 saman, Raub, 574 saman dan Bentong, 348 saman manakala daerah lain masih di bawah 200 saman,”katanya.
Kamarulzaman berkata, kesalahan tiada lesen memandu dan lesen tamat tempoh sering mencatatkan jumlah tertinggi berbanding kesalahan lain setiapkali operasi jalan raya diadakan pihaknya.
"Kesalahan itu sudah menjadi ‘kesalahan biasa’ kerana setiap kali sekatan jalan raya atau operasi diadakan, ramai golongan yang tidak sah berada di atas jalan raya ini ditahan.
"Ia seolah tiada kesudahan malah golongan ini jugalah yang sering melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk menunggang secara melulu, merempit dan sebagainya,”katanya.
Menurutnya, masih ramai pengguna jalan raya seolah tidak mengambil berat keperluan memiliki lesen memandu untuk melayakkan mereka berada di atas jalan raya.
"Walaupun sedar risiko dihadapi termasuk kemungkinan ditahan, disaman atau didakwa di mahkamah, namun mereka terus berdegil mencabar peraturan dan undang-undang ditetapkan.
"Kesalahan memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM300,”katanya.
Beliau berkata, risiko mereka bukan hanya dalam aspek penguatkuasaan semata-mata namun pelbagai masalah boleh timbul disebabkan tiada lesen memandu terutama bila berlaku kemalangan.
"Pemandu atau penunggang yang tidak memiliki lesen memandu sudah tentu tidak dilindungi insurans justeru sekiranya berlaku kemalangan, mereka dan pihak lain yang terlibat sukar untuk membuat tuntutan insurans,” katanya.