MPOB tawar kepakaran tingkatkan produk berasaskan minyak sawit

Iklan
Ahmad Parveez

PENGILANG dan pengeluar produk minyak dan lemak seharusnya memanfaatkan kemudahan loji rintis dan makmal canggih Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta kepakaran penyelidikan dan pembangunannya (R&D) dalam pembuatan produk minyak dan lemak.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB telah banyak melabur dalam loji-loji rintis tersebut yang kebanyakannya terletak di ibu pejabatnya di Bangi.

Iklan
Iklan

"Loji perintis dan kemudahan makmal MPOB juga disewakan kepada pengeluar untuk penyediaan sampel produk makanan berasaskan minyak sawit untuk pengembangan pasaran atau percubaan formulasi baharu atau menambah baik formulasi.

"Kemudahan ini juga berguna untuk pengeluar minyak dan lemak untuk memformulasikan dan pengoptimuman proses,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Penyelidik MPOB menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan produk makanan berasaskan minyak sawit dari aspek formulasi, pemprosesan dan pemeliharaan semasa penyimpanan dan pengangkutan.

Di samping itu, kepakaran mereka termasuk memperbaiki produk berasaskan minyak sawit bagi pengeluar yang sedia ada.

Iklan

Beliau berkata, pengilang makanan dari Syria, Pakistan, India, Turki, dan Sweden telah menggunakan formulasi makanan berasaskan minyak sawit yang dibangunkan oleh penyelidik MPOB.

"Formulasi ini terutamanya adalah produk seperti marjerin, minyak kelapa sawit, minyak sayur, ghee sayur (Vanaspati), pengganti lemak haiwan dan lemak konfeksi,” tambah beliau.

MPOB juga mengadakan kursus praktikal pembuatan marjerin untuk peserta tempatan dan asing, yang memberikan mereka pengalaman langsung dalam menggunakan formulasi minyak sawit untuk pelbagai produk lemak.

Ahmad Parveez berkata, penubuhan kilang perintis dan kemudahan makmal akan membantu memperhebatkan usaha MPOB untuk pengkomersialan dan meningkatkan mekanisme dan infrastruktur sedia ada yang dapat meningkatkan hubungan dengan industri dan bakal pengguna di masa akan datang.

Beliau juga berkata, MPOB sedang dalam proses membangunkan kemudahan dan perkhidmatan R&D untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan syarikat pemula dalam teknologi di Malaysia yang seterusnya dapat menjadi ejen untuk menceburi pasaran yang lebih besar.

Pengusaha yang terlibat dalam industri pengeluaran makanan boleh menghubungi Dr Anis Mokhtar, Ketua Unit Pelaksanaan Korporat dan Perundingan, MPOB di talian 03-8769 4574 atau Suraya Mohamad di talian 03-8769 4579 selain melalui e-mel tot@mpob.gov.my. - Bernama