Ramalan air pasang besar malam ini, penduduk diingat tidak ke pantai

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA TERENGGANU – Orang ramai dinasihati supaya tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada jam 9 malam Jumaat demi keselamatan mereka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pantai juga diminta lebih berhati-hati.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, fenomena air pasang besar dan pertembungan hujan lebat di kawasan rendah boleh menyebabkan berlakunya banjir di beberapa lokasi berisiko berikutan limpahan air.

"Pihak berkuasa mengeluarkan ramalan berlakunya air pasang besar bermula jam 9 malam ini hingga 4 pagi esok.

Iklan

"Fenomena yang melibatkan beberapa lokasi ini dilaporkan turut menghasilkan ombak dengan ketinggian antara 2.40 meter (m) hingga 2.80m,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Rosman

Beliau berkata, Terengganu diramalkan menghadapi empat kali air pasang besar pada bulan ini berikutan Monsun Timur Laut dengan jangkaan kali pertama pada Jumaat malam.

Iklan

Sehubungan itu, Mohd Rosman menjelaskan bahawa APM Terengganu sudah bersedia menghadapi fenomena itu dengan menggerakkan pegawai dan anggota ke lokasi terlibat bagi menjalankan pemantauan.

"Rondaan ini bagi menjamin keselamatan orang ramai dan antara lokasi yang akan kita tinjau adalah Pantai Seberang Takir atau lebih dikenali sebagai Miami Beach yang sering kali menjadi tumpuan ramai.

"Jadi kita harap orang ramai mematuhi arahan ini bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini,” ujarnya.