SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara akan pulang ke tanah air untuk merebut peluang pekerjaan di negara ini.
Presidennya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ia merupakan faktor daripada pembentangan Bajet 2022 yang mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk negara ini.
Menurutnya, pembentangan Bajet 2022 itu telah memberikan nafas lega kepada pekerja di luar negara untuk merebut peluang dan kembali ke tanah air.
"Saya diberitahu sekitar satu juta pekerja Malaysia bekerja di luar negara. Saya percaya, kebanyakan mereka akan pulang ke Malaysia untuk merebut kerja di negara ini selepas kerajaan membuka peluang pekerjaan sebanyak 600,000 di negara ini.
"Ini merupakan peluang kepada mereka yang menganggur untuk bekerja dan juga mereka yang dahulunya ke luar negara kerana kurang peluang pekerjaan di sini,” katanya.
Pada 29 Oktober, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 ribu orang dan peruntukan sebanyak RM2 bilion.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kos sara hidup di luar negara terutama di Australia dan Korea Selatan yang tinggi juga menjadi punca untuk mereka pulang ke Malaysia.
Mengikut perkiraannya, kos sara hidup di negara ini adalah jauh lebih rendah meskipun gaji berada di tahap yang sederhana.
"Jadi di Australia dan Korea walaupun dapat gaji lebih tinggi, tetapi kos hidup di sana adalah lebih tinggi,” ujarnya.
Mengulas mengenai majikan untuk membuka peluang pekerjaan, katanya, mereka kini menggunakan pendekatan tunggu dan lihat keadaan yang akan terjadi seterusnya.
Hal yang demikian adalah kerana kebanyakan majikan masih lagi khuatir akan penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan akan berlaku.
"Di Malaysia, kita ambil pendekatan tunggu dan lihat sementara ini dan jika keadaan mengizinkan, semestinya majikan akan meningkatkan peluang pekerjaan mereka,” katanya.
Namun begitu, jelasnya, majikan akan sentiasa terbuka untuk buka peluang pekerjaan sekiranya keadaan mengizinkan kerana kerajaan menyediakan insentif melalui JaminKerja iaitu sebanyak 20 peratus untuk enam bulan pertama dan 30 peratus untuk enam bulan kedua.