SHAH ALAM - Pengalaman menyertai banyak peraduan sebelum ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemenang hadiah utama Peraduan Kumpul Dan Menang Sinar 15 dalam mencipta slogan terbaik.
Raja Zainah Daing Kadir, 59, berkata, dia berusaha mengerah idea mencari slogan terbaik yang boleh digunakan dalam peraduan tersebut.
"Saya memang aktif menyertai segala peraduan dianjurkan media termasuk Sinar Harian.
"Bahagian nak cari slogan itu memang mencabar untuk fikirkan yang terbaik. Jadi dengan pengalaman yang ada sebelum ini, saya gunakan balik apa yang saya dah buat dulu untuk ciptakan balik slogan sesuai dengan tajuk diberikan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dengan kemenangan tersebut, Raja Zainah berjaya meraih hadiah wang tunai bernilai RM15,000.
Mengulas lanjut, ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia tidak menyangka meraih tempat pertama dalam peraduan itu memandangkan jumlah penyertaan yang sangat ramai.
"Saya memang tak sangka menang kerana melihatkan jumlah penyertaan yang banyak.
"Apa-apapun saya bersyukur mendapat rezeki yang tak disangka ini,” ujarnya.
Sementara itu, pemenang tempat kedua, Nor Azry Syamil, 29, dari Sik, Kedah yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berkata, kemenangan tersebut sangat bermakna buatnya kerana itu merupakan kali pertama dia berjaya memenangi peraduan yang disertai.
Nor Azry yang merupakan seorang jurutera itu turut memaklumkan dia telah menghantar penyertaan bagi dua kategori iaitu hadiah utama dan kreatif.