KUALA SELANGOR - Kegiatan sindiket penyeludupan migran didalangi seorang tekong darat warga tempatan tumpas dalam Op Benteng Covid-19 di Kampung Sungai Janggut, di sini pada Jumaat.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 5 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut membongkar kegiatan penyeludupan terbabit.
"Kita berjaya mengesan seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Rizal berkata, operasi yang turut dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut menggunakan bot.
"Turut dirampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM61,400," ujarnya.
Beliau memberitahu, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis," jelasnya.