KLANG - Orang ramai diminta terus berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca walaupun fenomena air pasang besar yang bermula pada Khamis lalu dijangka berakhir pada Ahad.
Ketua Zon Bomba Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Hussin Ab Rahman berkata, pihaknya juga sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
Menurutnya, pemantauan terus dijalankan di beberapa lokasi iaitu Jeti Tok Muda, Pengkalan Sayang-Sayang di Rantau Panjang, Pengkalan Jeti Pulau Ketam, Jalan Pandamaran dan Jeti Nelayan Togoh.
"Setakat hari ini (Sabtu) keadaan di semua tempat yang dipantau ini terkawal dan selamat malah tiada laporan diterima mengenai kejadian air pasang besar menyebabkan keselamatan penduduk terjejas.
"Namun, ada laporan kawasan rumah penduduk digenangi air di kawasan Kapar dan Rantau Panjang namun ia keadaan biasa setiap kali berlakunya fenomena air pasang besar," katanya.
Hussin berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat tinjauan bersama pasukan JBPM Klang di Jalan Pandamaran Jaya berhadapan pintu kawalan air, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, limpahan air pasang besar yang bermula pada jam 6.30 pagi di Jalan Pandamaran Jaya berhadapan pintu kawalan air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) pada Sabtu itu juga terkawal.
"Air (laut) melimpah ke jalan tetapi keadaan ini berlaku seperti dijadualkan oleh Jabatan Meteorologi yang meramalkan air pasang dengan ketinggian 5.6 meter.
"Keadaan air pasang besar ini bermula pada Khamis dan dijangka berakhir pada Ahad, dan esok ketinggian ombak diramalkan setinggi 5.5 meter seperti yang telah dijadualkan," katanya.
Pada Jumaat, Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari bermula Khamis di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.
Dalam pada itu, sebanyak 10 buah tempat letak kereta kediaman penduduk di Jalan Sekolah, Pelabuhan Klang ditenggelami air susulan fenomena air pasang besar dalam kejadian pada awal pagi Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata, ruang dapur rumah penduduk terbabit turut dinaiki air paras buku lali, namun situasi terkawal.