SHAH ALAM– Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengumumkan pelantikan Profesor Ts Dr Ruslan Abdul Rahim sebagai Rektor Aswara yang baharu berkuat kuasa 1 November 2021.
Aswara dalam satu kenyataan berkata, berbekalkan pengalaman yang ada, Ruslan mampu membawa perubahan kepada institusi pengajian tinggi tersebut dengan lebih efektif.
"Sebelum menyertai Aswara, Ruslan telah berkhidmat selama lebih 30 tahun dan seorang yang berpengalaman luas serta mempunyai kepakaran di dalam industri seni kreatif.
"Beliau pernah memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM)," jelas kenyataan itu.
Selain itu, Ruslan juga pernah berkhidmat sebagai pereka grafik di Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).
Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang web design dari University of Brighton, United Kingdom dan Ijazah Sarjana (MSc) dalam bidang Communication Design dari Pratt Institute, New York, Amerika Syarikat.
Sejak penubuhannya pada tahun 1994, Aswara merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan yang didukungi sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di bawah Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653).
Aswara merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang menyediakan ruang pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan akademik serta khidmat nasihat profesional dalam bidang seni budaya dan warisan.