Kerajaan wajar pertimbang kenaikan elaun OKU: Ras Adiba

Iklan
Presiden OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi (tiga, kiri) beramah mesra bersama peserta Orang Kurang Upaya (OKU) ketika hadir melancarkan program Cabaran OKU di Bukit Sikai hari ini. - Foto Bernama

KUALA PILAH - Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menaikkan elaun golongan orang kurang upaya (OKU) bagi membantu mengurangkan bebanan kos hidup mereka terutama kepada individu yang tidak dapat aktif bekerja.

Malah, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi merangkap ahli Dewan Negara berkata, cadangan itu juga sering dikemukakannya, ketika berada di persidangan Dewan Negara.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya sejak saya jadi Senator saya selalu memperjuangkan elaun OKU dipertingkatkan kerana kos seharian amatlah tinggi, jadi saya pohon kepada kerajaan mempertimbangkan agar ia dapat dinaikkan, mungkin boleh naik lebih sedikit.

"Namun begitu, banyak lagi peruntukan dalam Bajet 2022 untuk golongan ini yang telah dipertingkatkan, Alhamdulillah, tetapi saya akan terus usaha supaya sahabat kita dapat merasai kenaikan elaun dalam memudahkan keadaan mereka,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program cabaran OKU ke Bukit Sikai, di sini pada Sabtu.

Iklan

Bagaimanapun, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu berkata, golongan OKU juga perlu berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain semata-mata dalam memperbaiki kehidupan mereka.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 pastinya memberikan kesan terhadap kehidupan mereka, namun beliau meminta golongan berkenaan untuk tidak berputus asa dan sentiasa menjadikannya pembakar semangat untuk lebih kuat, sekali gus menjadi suri teladan kepada anak-anak dan generasi akan datang.

Iklan

"Saya sarankan untuk semua OKU untuk bekerja sendiri, jangan terlalu mengharapkan sokongan daripada mana-mana pihak, perlu berusaha memperbaiki diri dan menjana pendapatan, kita tidak mahu orang memberi terlampau banyak simpati kerana kita ada maruah dan berupaya seperti mereka yang tidak OKU,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai program hari ini, beliau menyifatkan ia sebagai aktiviti yang mampu memberikan pemahaman kepada golongan OKU bahawa tiada sebarang halangan dan had untuk melakukan apa sahaja sekiranya memberikan fokus dan berusaha sama seperti individu normal lain.

Katanya, program seumpama itu merupakan platform kepada kumpulan berkenaan bagi merapatkan silaturahim antara rakan lain sekali gus bertukar fikiran dan menghargai sekeliling tanpa mengira kekurangan.

"Kepada sahabat OKU, saya sarankan kepada anda semua untuk keluar bersama-sama rakan OKU lain bagi memperbaiki kemahiran sedia ada dan sekiranya tidak mempunyai sebarang kemahiran inilah waktu cuba mengikuti aktiviti, kursus atau seminar, sama ada secara dalam talian atau bersemuka,” katanya.

Program cabaran OKU ke Bukit Sukai hari ini disertai lebih 40 peserta termasuk pengiring, yang merupakan program kedua selepas Bukit Taisho tahun lepas anjuran Raja Bersiong Adventure Team untuk menawan gunung di Negeri Sembilan dengan menaiki kereta pacuan empat roda. - Bernama