KUALA TERENGGANU - Perbuatan dua pemandu kereta jenis Honda FD menguji kehebatan kenderaan masing-masing dengan berlumba sesama sendiri membawa padah apabila ditahan polis di Paka, Kemaman, pada Jumaat.
Kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 27 tahun dari Dungun serta seorang penumpang lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 2.23 pagi ketika memberhentikan kereta mereka di hadapan sebuah kedai.
Iklan
Iklan
Mereka sebelum itu hanya sempat bersaing sesama sendiri dengan berulang-alik lebih kurang satu kilometer di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan menghala Kuala Terengganu berhampiran kawasan Loji Penapisan Minyak, Kerteh, Kemaman.
Perbuatan itu bagaimanapun disedari oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu (Skuad 42) yang sedang membuat risikan pemantauan samseng jalanan berhampiran kawasan berkenaan pada jam 1.45 pagi.
Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua buah kereta jenis Honda Civic FD dipandu dari Kerteh menghala Kuala Terengganu melalui Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.
"Kesemua suspek bersama dua buah kereta Honda Civic FD itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu dan membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.