MUAR - Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM9.1 juta terhadap 796 majikan yang gagal mematuhi Akta 446 dan Akta 342 sepanjang tahun 2021 sehingga 6 November.
Ketua Pengarahnya, Asri Ab Rahman berkata, kompaun dikenakan ke atas majikan terbabit setelah mereka gagal dalam pematuhan Akta Standard Minimun Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) serta pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, JTKSM telah melakukan pemeriksaan ke atas 34,088 majikan dengan melibatkan 150,185 buah penginapan.
"Sebanyak 1,169 kertas siasatan telah dibuka dan 796 daripadanya telah diberikan Izin Kompaun dengan tawaran berjumlah RM9,149,000 (RM9.1) juta.
"Sehingga hari ini (6 November) jumlah kompaun yang dibayar adalah sebanyak RM2,461,300 (RM2.4) juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Operasi Penguatkuasaan Khas Akta 446 dan Akta 342 di Muar, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama dalam operasi terbabit adalah Timbalan Ketua Pengarah JTKSM, Mohd Asri Abd Wahab dan Pengarah JTK Johor, Nasir Kassim.
Operasi berkenaan turut disertai oleh beberapa penguat kuasa lain seperti Majlis Perbandaran Muar (MPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Human Resouce Development (HRD) Corp Cawangan Selatan.
Mengulas mengenai operasi tersebut, Asri berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap lima premis termasuk tempat tinggal yang disediakan majikan di Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar dekat sini.
Katanya, tumpuan pemeriksaan di kawasan sektor pembuatan perabot itu mendapati ia beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja seramai 955 pekerja, di mana 711 adalah pekerja asing.
"Hasil pemeriksaan, kilang berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta 446, dengan tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat sebarang permohonan dengan JTK.
"Majikan juga telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4(1) dan hari ini sahaja JTK Johor akan mengeluarkan lima kertas siasatan ke atas majikan, yang telah melakukan kesilapan berkenaan,” katanya.
Jelasnya lagi, MPM turut mengenal pasti tiga kesalahan dilakukan oleh majikan-majikan yang meliputi dua kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), iaitu gagal mematuhi SOP penjarakan fizikal dalam hostel dan membiarkan premis dalam keadaan kotor yang membawa kompaun berjumlah RM1,000 setiap satu kesalahan, serta satu (1) kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1974 (Akta 133) iaitu mendirikan bangunan tanpa kebenaran, dan boleh dikompaun berjumlah RM500. - Bernama