Malaysia, Australia bincang kemungkinan buka semula sempadan

Iklan
Saifuddin bersama Payne (kiri) pada sidang media ketika lawatan kerja Menteri Luar Negeri Australia itu ke Malaysia di sebuah hotel, hari ini.
 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Australia berunding mengenai kemungkinan membuka semula sempadan kedua-dua negara secepat mungkin, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bercakap selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Australia, Senator Marise Payne di sini pada Sabtu, beliau berkata, Menteri Kesihatan kedua-dua negara juga membincangkan mengenai perkara sama dan berharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Apa yang dipersetujui adalah, ia perlu melalui beberapa peringkat. Apa fasanya, ia akan diumumkan kemudian iaitu apabila Menteri Kesihatan kami sudah sedia, tetapi menurut pemahaman peringkat Menteri Luar, kami perlu membenarkan orang ramai melakukan perjalanan,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Payne.

Saifuddin dan Payne sebelum itu bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) ke-4.

Iklan

AFMM itu adalah mesyuarat pertama yang diadakan selepas kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan Kerjasama Komprehensif Strategik pada 27 Januari 2021.

Sementara itu, Payne berkata, seperti Malaysia, Australia juga mempunyai kawalan yang ketat di dalam negara dan di sempadan disebabkan pandemik Covid-19.

Iklan

Beliau berkata, Australia membuka semula sempadannya secara bertahap dan teruja untuk menyambut kembali ketibaan pengembara antarabangsa, termasuk penuntut Malaysia.

"Kami tahu betapa mereka menantikan saat ini dan kita juga mengalu-alukan penuntut Malaysia ke Australia, dan dirasakan, ia akan bermula (kebenaran perjalanan) tidak lama lagi.

"Tetapi kami perlu laksanakan melalui beberapa fasa seperti kata menteri (Saifuddin), melibatkan kedua-dua sistem, merangkumi vaksinasi dan sistem kesihatan," katanya.

Mesyuarat itu turut menyentuh pelbagai bidang di bawah kerangka kerja CSP seperti perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan, hubungan antara rakyat serta kerjasama pasca Covid-19.

Payne dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula Jumaat hingga 7 November.

Beliau turut dijadual bertemu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Bernama