BINTANG tenis wanita Jepun, Naomi Osaka memberikan bayangan bahawa dia akan kembali bangkit menerusi beberapa foto yang menunjukkan dia berada di gelanggang tenis dan sedang memegang raket menerusi laman Twitternya.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, dia kini merasakan sudah bersedia untuk kembali ke gelanggang setelah berehat seketika mulai September lalu.
"Saya kini bersedia untuk kembali ke gelanggang. Saya rasa lebih baik ketika ini setelah mendapat rehat yang cukup.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kiriman mesej kepada saya selama saya berehat. Saya cukup menghargainya,” katanya.
Untuk rekod, bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan untuk berehat seketika daripada sukan tenis setelah tersingkir daripada saingan Terbuka Amerika Syarikat (US Open), September lalu.
Juara Grand Slam empat kali itu juga didapati bergelut untuk kembali pada prestasi terbaik setelah menarik diri daripada Terbuka Perancis, Mei lalu.
Selain itu Osaka juga tewas 5-7 7-6 (7-2) 6-4 kepada pemain muda Kanada, Leylah Fernandez pada Flushing Meadows, 4 September lalu.
Mengulas lanjut, Osaka berkata, dia juga sudah mendapatkan khidmat nasihat pakar dalam usaha mendapatkan nasihat bagaimana untuk memulihkan semula semangatnya untuk kembali beraksi dalam sukan tenis.
Katanya, setelah mendapatkan khidmat nasihat berkenaan, dia kini lebih bersedia untuk kembali beraksi dan dia menyasarkan untuk mencatatkan kejayaan pada Terbuka Australia, Januari depan.
"Kini masanya sudah tiba untuk saya kembali ke gelanggang dan memberikan aksi terbaik saya bagi mencatatkan beberapa lagi kejayaan selepas ini,” katanya.