Super Ziyad reda keputusan jawatankuasa

Iklan
Muhammad Ziyad

ATLET lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui reda dan menerima keputusan siasatan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung insiden pembatalan pingat emas yang dimenanginya pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.

Menurut atlet berusia 31 tahun itu yang terkenal dengan gelaran 'Super Ziyad', dia juga berharap agar insiden berkenaan menjadi pengajaran berguna buat dirinya pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Saya telah dimaklumkan mengenai hasil siasatan dalaman oleh pihak jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Borhan Dollah dan di sini saya memaklumkan saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

"Saya juga reda dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Keadaan ketika itu agak sukar untuk saya dan jurulatih mempertahankan dakwaan kami.

Iklan

"Tetapi kami juga mengakui tanpa sedar, kami telah melakukan kekhilafan seperti yang didakwakan. Maafkan kami kerana mengecewakan semua dan percayalah kami sendiri pun tidak mahu keadaan (menjadi) seperti itu dan kami jadikan kekhilafan itu sebagai pengajaran pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan dalam talian pada Sabtu.

Pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 lalu, Muhammad Ziyad telah berjaya meraih emas selain mencatatkan rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang sama sekali turut memecahkan rekodnya sendiri yang dicatatkannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia London 2017 lalu dengan catatan 17.29 m yang sebelum itu meleburkan rekod yang dicatatkannya pada Paralimpik Rio 2016 dengan lontaran sejauh 16.84m.

Iklan

Bagaimanapun, kemenangan atlet berusia 31 tahun itu dibatalkan selepas protes dilakukan oleh atlet Ukraine membabitkan isu teknikal, dengan mendakwa Muhammad Ziyad lewat tiba di call room sebelum beraksi dalam acara berkenaan.

Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan pihak MSN membentuk jawatankuasa siasatan dan bekerjasama dengan pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh.

Pada Jumaat, pihak jawatankuasa berkenaan telah merumuskan bahawa Ziyad terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga menyebabkan penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Sementara itu Muhammad Ziyad menegaskan buat masa ini dia lebih fokus bagi meneruskan latihan seperti biasa sebagai persediaan untuk mengharungi temasya sukan yang akan datang.

Malah katanya, keputusan kali ini juga tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dan seterusnya melakar kejayaan.

"Insya-ALLAH, keputusan ini tidak melemahkan semangat saya, tetapi memberikan motivasi kepada saya untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Saya juga berharap isu ini tidak dispekulasikan dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Tiada siapa pun patut dipersalahkan kerana kalau ada pun kesilapan adalah atas kelemahan diri kami sendiri,” katanya.