Air laut melimpah masuk rumah

Iklan
Ruang tamu rumah penduduk dinaiki air di Kampung Batu 1, Jalan Kunci Air Buang pada Sabtu

TANJONG KARANG - Beberapa kediaman penduduk di Kampung Batu 1, Jalan Kunci Air Buang di sini dimasuki air susulan fenomena air pasang besar pada Sabtu.

Seorang penduduk, Ahmad Yunus, 60, berkata, kejadian jam 5 pagi itu disedari isterinya, Norhayati Muhammad Nasir, 51, sebaik terjaga daripada tidur.

Iklan
Iklan

"Saya terkejut melihat air sudah membanjiri tepi katil sejurus isteri mengejutkan saya memaklumkan rumah kami sudah dilimpahi air," katanya kepada Sinar Ahad.

Ahmad berkata, kediamannya sering dinaiki air jika berlaku fenomena air pasang besar sejak 10 tahun lalu.

Iklan

"Kami sudah lali dengan kejadian ini dan dalam kejadian semalam (Jumaat) keadaan air laut melimpah masuk ke rumah lebih tinggi berbanding hari ini (Sabtu)," katanya.

Dia berkata, fenomena itu juga menyebabkan sistem pembetungan rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat hentaman air deras.

Iklan

"Buat masa ini, jalan masuk rumah saya tidak boleh dilalui kenderaan berikutan struktur tanahnya yang lembik dan mendap akibat sistem pembetungan tersumbat.

"Keadaan ini (jalan mendap) kerap berlaku akibat limpahan air pasang besar dan saya terpaksa membelanjakan ratusan ringgit untuk baik pulih semula laluan ini," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ridzuan Mohd Tokid, 37, berkata, kejadian air pasang besar disedari mula melimpah masuk di beberapa bahagian rumahnya pada pagi Sabtu.

Katanya, air mula masuk di dapur, sebuah bilik di bahagian tengah dan beranda rumah dalam sekelip mata dan hanya kembali surut kira-kira jam 9 pagi.

"Kami sudah menjangkakan air akan naik dan semua barang sudah dipindahkan ke tempat lebih tinggi," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Ramley Yunus, 62, menyifatkan keadaan banjir yang berlaku itu berikutan pertembungan air pasang besar dan kekerapan hujan.

Dia berkata, pekarangan rumahnya itu turut dilimpahi air pasang besar setinggi 0.3 meter bagaimanapun bersyukur kerana air tidak masuk ke dalam rumah.

"Kalau tengok halaman rumah kami macam tasik dan kami bimbang jika keadaan bertambah serius pada masa akan datang.

"Justeru kami berharap kerajaan dapat membina ban lebih tinggi bagi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku," katanya.