'Pinjam motosikal kawan mahu beli barang'

Iklan
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan ke atas motosikal pada operasi khas Ops Merah. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

PUCHONG -"Saya pinjam motosikal kawan, datang sini nak beli barang". Itu antara alasan yang diberikan seorang warga asing sebaik ditahan dalam Ops Merah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia di Puchong Perdana pada Sabtu.

Bagaimanapun pemeriksaan dijalankan mendapati individu berkenaan tidak mempunyai lesen memandu selain motosikal yang digunakan juga didapati cukai jalan tamat tempoh.

Iklan
Iklan

Motosikal yang digunakan individu terbabit kemudiannya disita untuk tindak selanjutnya.

Dalam pada itu, operasi sama beberapa penunggang p-hailing yang didapati tiada lesen memandu yang sah turut berjaya menahan.

Iklan

Seorang penunggang p-hailing memberikan alasan tertinggal lesen memandu ketika ditahan, bagaimanapun alasan tersebut ternyata palsu apabila pemeriksaan dan semakan lanjut yang dijalankan mendapati penunggang terbabit tidak memiliki lesen memandu.

Operasi dijalankan bermula jam 4.30 petang dan berakhir kira-kira jam 6.30 petang itu disertai 103 anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPJ Malaysia, JPJ Selangor, JPJ Negeri Sembilan dan JPJ Kuala Lumpur.

Iklan

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi khas dikenali sebagai Ops Merah ini dijalankan di seluruh negara bermula 8 Oktober lalu.

"Operasi khas ini dijalankan bertujuan memantau tahap pematuhan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987).

"Selain itu, kita turut mengadakan program advokasi dengan memberikan fokus utama kepada kenderaan motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ops Merah di Puchong Perdana pada petang Sabtu.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, pelbagai kesalahan dikesan sepanjang pelaksanaan Ops Merah ini antaranya tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu dan tiada perlindungan insurans.

"Selain itu antara kesalahan lain dikesan termasuk menggunakan telefon bimbit ketika menunggang, melawan arus, tidak memakai topi keledar selain mengubah suai kenderaan termasuk nombor pendaftaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil semakan statistik yang dikumpul bermula 8 Oktober sehingga 6 November mendapati sebanyak 11,762 kenderaan yang telah diperiksa.

"Sebanyak 2,058 kenderaan telah diambil tindakan membabitkan motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing.

"Selain itu, sebanyak 7,808 kesalahan telah diambil tindakan hasil pemeriksaan melibatkan keseluruhan 76,603 kenderaan," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan penguatkuasaan Ops Merah ini akan dijalankan secara berkala dalam memantau dan memastikan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Tindakan ini diharapkan akan memberikan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya khususnya melibatkan penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing tentang kepentingan untuk memastikan persekitaran jalan raya di negara ini sentiasa selamat untuk semua," katanya.