Mayat lelaki ditemukan terbaring di perhentian bas

Iklan
Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di perhentian bas Jalan Lencongan Timur, berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan kecederaan ditemui dalam keadaan terbaring di perhentian bas Jalan Lencongan Timur, berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam yang menemui mayat berkenaan kira-kira jam 11.05 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di mata kanan dan calar ditemui pada kaki mangsa berusia 39 tahun yang berasal dari Skudai, Johor.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa dimasukkan ke wad HSAH pada Isnin lepas dan menerima rawatan akibat kecederaan di kepala, lebam mata dan menerima jahitan di bawah mata.

Iklan

"Bagaimanapun, mangsa dibenarkan keluar dari wad pada Khamis lepas sebelum datang semula ke hospital pada Sabtu bagi mendapatkan rawatan akibat sakit lutut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Adzli berkata, pemeriksaan lanjut dengan pihak HSAH mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat dipukul, namun tiada sebarang laporan polis dibuat mangsa berhubung kes pukul terhadapnya.

Iklan

"Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan ujian Covid-19 akan dilakukan terlebih dahulu sebelum mayat dihantar untuk bedah siasat ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," kata beliau.