SEMENYIH - Empat remaja lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun berdepan detik cemas selepas salah seorang daripadanya hilang sewaktu melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga pada Sabtu.
Bimbang akan keselamatan rakannya itu, tiga sekawan yang sudah sampai di kaki bukit berkenaan kembali melakukan pendakian bagi menjejaki mangsa.
Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka mengalami kekejangan akibat kepenatan sementara rakannya yang hilang itu gagal ditemui.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 2.32 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba di lokasi 18 minit kemudian.
Beliau berkata, kesemua mangsa termasuk seorang daripadanya yang dilaporkan hilang berjaya ditemui dan dibawa turun pada jam 5.01 petang.
"Mangsa (yang hilang) ditemui dalam keadaan kepenatan selepas tersasar daripada trek pendakian. Mangsa diberikan air sebelum dibawa turun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Norazam berkata, kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dibenarkan beredar dari lokasi.