PRN Melaka: Pas anggap 'rundingan' bersama UMNO sudah tamat

Iklan
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) ketika membuang undi bagi pemilihan sempena Muktamar Pas ke-67 di Kuala Terengganu pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - Pas menganggap pintu rundingan antaranya dengan UMNO sudah tertutup susulan keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan 28 calon yang akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, telahan Pas untuk meneruskan rundingan bersama UMNO sehingga sebelum hari penamaan calon pada Isnin ini tidak menjadi kenyataan.

Iklan
Iklan

"Saya anggap sudah terlewat.. Cuma tunggu selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum umumkan penamaan calon.

"Dari segi undang-undang, selagi SPR belum umum pencalonan, ia masih lagi di peringkat cadangan. Apabila SPR sudah umum baharu tidak boleh tarik diri.

Iklan

"Namun, apabila parti-parti sudah umum, semua calon-calon telah hadir dan diberi watikah, saya fikir masing-masing telah mula bekerja serta menandakan kita sudah bersedia ke arah pilihan raya," katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Pas ke-67 di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengakui, Pas turut kesal dengan keputusan itu memandangkan rundingan bersama UMNO mengambil masa yang panjang.

Iklan

"Sebenarnya perbincangan ini ambil masa yang panjang malah saya boleh sebut inisiatif oleh Perdana Menteri ini pada peringkat awalnya sangat positif namun apabila tiba di penghujung, BN umum bertanding semua kerusi.

"Kita agak kecewa kerana usaha penyatuan itu gagal di penghujung. Namun bagi kami, Melaka bukanlah satu 'medan' penentuan," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan beliau turut menjangkakan berlakunya pertembungan sengit dalam PRN Melaka melibatkan pertembungan empat hingga lima penjuru bagi sesuatu kawasan.

"Buat masa ini kita hanya tahu penyertaan beberapa parti iaitu BN, Pakatan Harapan (PH) dan PN. Mungkin ada lagi parti-parti lain yang akan masuk (bertanding).

"Saya dapat maklumat ada juga parti lain yang akan bertanding selain Bebas. Mungkin PRN Melaka bukan tiga penjuru, mungkin empat atau lima penjuru," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyangkal bahawa keputusan BN bertanding di semua kerusi akan menjejaskan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya, situasi itu juga tidak menjadi titik tolak dalam PRU15 akan datang.

"Saya jangka tidak, tetapi ini satu indikator kepada beberapa perancangan pada masa depan," katanya.