HOUSTON - Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan puluhan lagi cedera dalam insiden rempuhan di festival muzik Astroworld di Houston, Amerika Syarikat pada malam Jumaat.
"Orang ramai mula bersesak-sesak di hadapan pentas utama mencetuskan situasi panik dan menyebabkan beberapa pengunjung mengalami kecederaan,” kata Ketua Bomba Houston, Samuel Pena di sidang akhbar pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.
"Sekurang-kurangnya lapan orang disahkan terbunuh dan beberapa individu cedera," kata Pena.
Insiden itu dikatakan berlaku kira-kira 9.15 malam waktu tempatan ketika penyanyi rap, Travis Scott membuat persembahan.
Sekurang-kurangnya 17 mangsa dihantar ke hospital, 11 dibawa dengan ambulans selepas mengalami serangan jantung, katanya.
Kira-kira 300 orang lagi dirawat di lokasi kejadian.
Festival Astroworld mula diperkenalkan pada tahun 2018 tetapi tidak dianjurkan pada tahun 2020 disebabkan pandemik Covid-19. - Bernama