'Rumah orang asli di Teluk Jawa usang, rosak'

Iklan
Hassan (kanan) melawat rumah Noraisyah (kiri) dan meninjau keadaan titi yang sudah usang serta reput di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Pasir Gudang pada Sabtu.

PASIR GUDANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) perlu bertindak segera membina kira-kira 40 rumah baharu untuk masyarakat orang asli di Kampung Orang Asli Teluk Jawa di sini setelah kediaman mereka sudah rosak dan usang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kira-kira RM2 juta diperlukan untuk membina kediaman baharu bagi memastikan mereka dapat tinggal dengan selesa dan selamat.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian atap manakala dinding papan lapisnya juga sudah berlubang serta reput. Semua rumah yang ada ini didirikan atas air dan diperbuat daripada kayu sepenuhnya.

"Perkampungan orang asli daripada suku Seletar ini dibenarkan duduk atas tanah rizab kerajaan sejak sebelum merdeka lagi. Kita khuatir ribut akan meroboh dan merosakkan rumah mereka," katanya ketika menyampaikan pakaian terpakai kepada penduduk kampung itu pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, seorang penduduk, Awie Mee, 39, berkata, permohonan untuk membaiki rumah mereka sudah dimohon kepada Jakoa sejak lebih 10 tahun lalu namun masih tiada jawapan sehingga kini.

Awie Mee

"Bagaimanapun ada pihak yang bermurah hati memberi sumbangan zink untuk menggantikan atap rumah kami yang sudah bocor.

Iklan

"Rumah kami sudah usang dan jika kerajaan tidak mampu bantu, dapat memberikan peruntukan tiang konkrit pun sudah memadai," jelasnya.

Bapa kepada empat anak dan merupakan seorang nelayan itu berkata, semua rumah di kampung itu menggunakan tiang kayu bakau untuk struktur utama rumah dan perlu digantikan setiap tahun.

Dalam pada itu, Aiman Majid, 35, berkata, ketika ini banyak kawasan hutan bakau sudah dimajukan dan penduduk mempunyai kesukaran untuk mendapatkan kayu berkenaan bagi menggantikan tiang lama di rumah mereka.

"Kita memerlukan kira-kira 40 batang tiang daripada kayu bakau pada setiap tahun untuk menggantikan tiang sedia ada

"Jadi kalau kerajaan dapat memberi bantuan tiang konkrit, ia akan bertahan lebih lama dan tidak perlu menukar tiang kayu bakau setiap tahun," ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Noraisyah Abdullah, 32, berharap kerajaan dapat membaiki titi kayu yang menjadi penghubung antara rumah ke rumah di kampung tersebut kerana struktur sedia ada sudah rosak dan berlubang.

Ketiadaan tong sampah dan tempat membuang sampah khusus mengakibatkan penduduk membuang sampah ke laut di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Pasir Gudang.

"Saya dan suami terpaksa mengutip kayu dan papan yang dibuang untuk digantikan pada laluan titi yang sudah rosak.

"Selain itu diharap kerajaan dapat menyediakan tempat pembuangan sampah atau tong sampah memandangkan ketika ini ada penduduk yang membuang sampah ke dalam laut," katanya.

Sementara itu, Yati Mee, 40, berkata, dia dan suami yang menjadi nelayan dengan pendapatan tidak seberapa mengharapkan bantuan kerajaan membangunkan kampung itu yang didakwa sudah diduduki datuk mereka sejak lebih 100 tahun lalu.

Dia mendakwa, rata-rata penduduk adalah nelayan selain menternak kupang dan mereka yang kini merupakan generasi ketiga dan keempat tidak mampu membina rumah baharu atas faktor kewangan.