JENGKA - Kemasukan buruh asing khususnya dalam sektor perladangan yang dijangka bermula hujung bulan ini memberikan khabar gembira buat peneroka Felda di Wilayah Jengka yang menagih khidmat buruh berikutan kekurangan tenaga tersebut di ladang sawit mereka.
Pembekuan pengambilan pekerja asing sebelum ini menyebabkan sektor perladangan berdepan masalah biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik warga tempatan bekerja dalam sektor itu, namun tidak mendapat maklum balas positif.
Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar, 69, menyifatkan langkah kerajaan membawa masuk buruh asing amat dialu-alukan oleh peneroka terlibat.
"Cuma kita harapkan proses itu dapat dipercepatkan untuk memenuhi keperluan yang semakin mendesak untuk mereka yang ingin mengeluarkan hasil ladang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Exco Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) (Biro Sosial), Razak Daud, 61, pula menyifatkan langkah itu tepat pada masanya selepas peneroka berdepan pelbagai masalah hingga menjejaskan pendapatan mereka.
Beliau yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 memang mengharapkan kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dan pengumuman membawa masuk buruh asing khususnya sektor perladangan memberikan kelegaan buat mereka.
"Sejak kerajaan tidak membenarkan buruh asing untuk bekerja dalam sektor perladangan di negara kita ia telah menimbulkan masalah kepada semua peneroka.
"Hasil tidak dapat dituai sepenuhnya, ada ladang yang langsung tidak dapat dituai, malah hanya dua pusingan sahaja hasil ladang yg boleh dikeluarkan menyebabkan peneroka mengalami kerugian yang amat ketara," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Kampung Awah, Mazlan Abdull Rahman, 53 turut menarik nafas lega dengan pengumuman kerajaan membawa masuk kembali buruh asing kerana situasi sebelum ini masih tidak diatasi selepas pelbagai usaha, kempen menarik warga tempatan mengisi sektor itu kurang mendapat sambutan.
"Kekurangan tenaga buruh menyebabkan pelbagai aktiviti perladangan terjejas, selain pengeluaran hasil, aktiviti penjagaan juga menerima kesan negatif," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Jengka 10, Jantan Mat Saman, 72, memberitahu, penggunaan buruh asing diperlukan susulan peneroka kian dimamah usia.
"Contohnya di Jengka 10, peneroka yang ada sudah berusia 65 tahun ke atas sudah tidak larat kerjakan ladang masing-masing.
"Apabila tiada buruh, memang menjejaskan pengeluaran hasil ladang macam saya sendiri hanya dapat buat satu pusingan sahaja berbanding dua pusingan untuk sebulan," tambahnya yang juga Pengerusi Koperasi Jengka 10.
Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Sungai Nerek, Sapian Hussin, 65, kemasukan semula buruh asing dapat meningkatkan lagi hasil ladang yang sebelum ini terjejas kerana kekurangan tenaga kerja di ladang.
"Saya berharap dengan kemasukan semula buruh asing ini dapat membantu kembali peneroka yang berdepan pelbagai kesukaran kerana kekurangan buruh di ladang mereka," tambahnya.