ALOR SETAR - Polis kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain di dalam air sewaktu air mulai pasang melimpah ke jalan raya dan kediaman penduduk di Kuala Kedah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam pemantauan fenomena air pasang besar awal pagi Ahad, kelihatan kanak-kanak seolah-olah berpesta bermain air tanpa menghiraukan musibah yang bakal menanti mereka kerana air datang dengan laju dan deras.
Katanya, sepanjang pemantauan bermula jam 12 tengah malam sehingga 3.30 pagi mendapati masih ramai orang awam berada di atas jalan dan di luar rumah.
Jelasnya, walaupun amaran telah dikeluarkan supaya tidak berada berdekatan dengan pantai dan kekal di tempat tinggi, namun ianya seolah-olah tidak diperdulikan.
Ini membimbangkan kerana paras air melimpah setinggi 0.5 hingga 0.7 meter boleh menghanyutkan kanak-kanak berusia 4 hingga 5 tahun.
"Kita menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau keberadaan anak masing-masing kerana kita perhatikan pada jam lebih kurang 12 tengah malam tadi, semasa air sedang naik, terdapat kanak kanak yang kelihatan bermain di dalam air.
"Kita faham mereka ini, dalam fenomena kejadian ini, penduduk tidak dapat tidur kerana rumah mereka dimasuki air, mungkin mereka akan berjaga sepanjang malam, mungkin sehingga jam 6 pagi apabila air surut sepenuhnya, namun semasa pemantauan tadi, terdapat kanak-kanak berusia 4 hingga 5 tahun masih lagi tidak tidur kerana rumah dinaiki air," katanya.
Menurut Ahmad Shukri, paras ombak mencatatkan ketinggian hampir 2 meter berkurang berbanding awal pagi Sabtu setinggi 3.1 meter.
Jelas beliau, seramai 30 anggota ditugaskan untuk memantau dan memastikan tahap keselamatan penduduk dan tiada kejadian jenayah seperti pecah rumah dan kecurian berlaku.
Katanya, pemantauan ini akan diteruskan sehingga fenomena air pasang besar ini dijangka tamat pada 7 November. - Awani