TANJUNG MALIM - Seorang remaja lelaki maut apabila kereta yang dipandu terjatuh ke dalam longkang selepas dikatakan dirempuh sebuah kontena di Kilometer 392.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, malam tadi.
Mangsa, T Kesavan, 19, yang memandu kereta jenis Proton Iswara cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 7.52 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu lori, seorang lelaki berumur 29 tahun yang memandu dari Ipoh ke Johor Bahru telah hilang kawalan dan melanggar belakang Proton Iswara.
"Kemalangan menyebabkan kereta dan lori tersebut berpusing dan terbalik ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Sulizmie Affendy berkata, kemalangan telah menyebabkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pemandu kontena pula hanya mengalami cedera ringan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000. - Awani