PRN Melaka: Petugas siap sedia hadapi hari penamaan calon

Iklan
Petugas di DUN Paya Rumput sedang membuat persediaan bagi menghadapi hari penamaan calon pada Isnin.

MELAKA - Rata-rata petugas termasuk sukarelawan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah siap sedia untuk mengendalikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Isnin.

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Idi Fazlul Zainuddin berkata, setakat ini persediaan bagi penamaan calon berjalan lancar dan semua petugas sudahpun bersedia.

Iklan
Iklan

"Bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon esok (Isnin), kita telahpun membuat persediaan rapi termasuk melaksanakan raptai ketibaan calon.

"Petugas kami terdiri dari Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Insolvensi Malaysia dan juga sukarelawan dilantik,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau di lokasi pusat penamaan itu pada Ahad.

Berkenaan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa arahan daripada SPR.

Iklan

Bagaimanapun, Idi Fazlul berkata, semua petugas di pusat penamaan calon menggunapakai SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"SOP masih belum dimuktamadkan di peringkat SPR, tetapi kita mengikut ketetapan KKM sepertimana diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua calon agar bersedia dan membawa semua dokumen yang diperlukan.

"Calon juga diminta hadir lebih awal, manakala penyokong dan pencadang pula haruslah menepati kriteria pencalonan daripada SPR,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut meninjau pusat penamaan calon bagi DUN Kelebang.

Rata-rata petugas sedang sibuk mempersiapkan lokasi masing-masing termasuk memastikan urusan teknikal berfungsi dengan baik.

Selain itu, mereka juga giat melaksana acara raptai bagi memastikan pergerakan calon pada Isnin berjalan lancar.