JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun boleh menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman berikutan isu yang melanda mereka berdua di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lepas.
Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) dalam kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan kepada sesiapa dalam isu yang membawa kepada kegagalan Malaysia mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) di Tokyo.
Sebaliknya, POPM menyanjung tinggi sikap kebertanggungjawaban Muhammad Ziyad serta jurulatihnya untuk terus berjuang dalam kejohanan akan datang.
"Kami akan sentiasa memberikan peringatan kepada pengurusan pasukan termasuk jurulatih dan atlet supaya memberikan perhatian kepada tarikh dan tempoh masa pendaftaran sama ada sebelum sesuatu kejohanan mahupun semasa kejohanan berlangsung,” menurut kenyataan itu.
Jumaat lepas, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu tersebut merumuskan, Muhammad Ziyad dan Mohd Faizol tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkandi bilik panggilan semasa hari pertandingan.
Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus tidak berjaya mempertahankan kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.
Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Super Ziyad reda keputusan jawatankuasa