PONTIAN - Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) di sini bertukar menjadi tumpuan orang ramai berikutan fenomena air pasang besar setinggi 3.4 meter di kawasan tersebut pada Ahad.
Dianggarkan kira-kira 2,000 pengunjung hadir ke TNJTP bagi menyaksikan fenomena itu bermula jam 11.30 tengah hari selain mengambil kesempatan bermandi manda ketika air laut melimpah di kawasan dataran.
Pengurus merangkap Pegawai Penyelidik Taman Negara Tanjung Piai, Lili Tokiman berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku sejak Khamis lalu telah menarik perhatian ribuan pengunjung dari Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Johor; Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.
Katanya, berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air masih terkawal dengan mencecah 3.4 meter dari paras laut pada Ahad.
" TNJTP merupakan antara kawasan utama bagi orang ramai melihat air pasang besar. Air laut yang melimpah akibat fenomena air pasang akan memenuhi ruang dataran dan laluan masuk.
"Kebiasaannya, orang menjauhi air pasang besar, tetapi di sini pengunjung dapat melihat dan merasai suasana limpahan air laut di kawasan yang dikelilingi hutan paya bakau," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Lili memberitahu, langkah keselamatan sentiasa diutamakan pihaknya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Kawasan laluan pejalan kaki di kawasan hutan paya bakau akan ditutup ketika air pasang berlaku. Pengunjung hanya dibenarkan berada di kawasan parkir, dataran dan laman sahaja.
"Kakitangan TNJTP sentiasa memantau keselamatan pengunjung yang datang ketika kejadian air pasang besar berlaku dengan kerap melakukan rondaan.
"Dari segi pematuhan prosedur operasi standard ( SOP) pula, hanya pengunjung yang sudah lengkap divaksin dan memakai pelitup sahaja dibenarkan masuk ke kawasan TNJTP," katanya.
Sementara itu, pengunjung, Izzatur Azim Md Hazib, 28, berkata, dia dan rakannya tiba sejak awal pagi Ahad bagi menyaksikan air pasang besar di Tanjung Piai.
"Ini adalah kunjungan saya kali kedua dari Johor Bahru ke Tanjung Piai untuk melihat air pasang besar pada penghujung tahun.
"Saya cukup teruja untuk merasai sendiri pengalaman mandi di kawasan taman negara disebabkan air pasang besar," katanya.
Seorang pengunjung dari Melaka, Al- Fizan Ahmad, 37, memberitahu, dia dan isteri, Nur Fazila Adam, 34, bersama tiga orang anak tidak menyangka dapat menyaksikan fenomena air pasang besar di TNJTP.
"Kunjungan saya bersama keluarga pada kali ini disifatkan sebagai 'bertuah' kerana dapat menyaksikan kejadian air pasang besar yang jarang berlaku," katanya.
Penduduk di Kampung Tanjung Piai, Anita Aziz, 60, berkata, dia sudah biasa dengan fenomena air pasang besar di TNJTP.
Katanya, kehadiran pengunjung dari luar bagi menyaksikan fenomena alam itu membantu ekonomi penduduk terutama peniaga kecil, pengusaha gerai dan restoran di Tanjung Piai.
"Orang kampung di sini memang sudah biasa dengan air pasang besar disebabkan kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan.
"Ramai pengunjung dari luar Pontian datang, sekali gus membantu tingkatkan semula ekonomi penduduk," katanya.