Bufet halal atas kapal mewah Genting Dream

Iklan
Chef Saifol menunjukkan beberapa hidangan halal yang disediakan Restoran Lido di atas Genting Dream.

PELABUHAN KLANG - Kapal pelayaran mewah, Genting Dream menawarkan seksyen khas bagi hidangan bufet yang mendapat persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sijil halal tersebut disampaikan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan
Chef Eksekutif Genting Dream, Saifol Iskandar berkata, penumpang Muslim kini boleh bercuti dan belayar dari Singapura ke destinasi-destinasi Asean dengan selesa dan yakin dengan tersedianya hidangan halal di Restoran Lido.

Menurutnya, dapur dan peralatan di restoran itu melalui proses samak disempurnakan oleh pegawai Jakim serta pinggan mangkuk digunakan pula dilabelkan dengan warna biru bagi membezakannya dengan yang lain.

"Proses bagi mendapatkan persijilan halal ini mengambil masa di antara tiga hingga empat bulan.

"Setakat ini sambutan daripada penumpang amat memberangsangkan dan penumpang bukan Islam juga teruja untuk menikmati hidangan halal yang disediakan," katanya ketika sesi memperkenalkan seksyen khas hidangan bufet halal di atas Genting Dream, di sini.

Iklan

Beliau berkata, antara sajian dihidangkan ialah ayam madu, pari asam pedas, opor ayam, tandoori kambing, gulai daging kawah dan tempe goreng pedas, selain aneka pencuci mulut.

Katanya, tujuh set menu dari serantau dan antarabangsa akan disediakan untuk memenuhi selera penumpang.

Iklan

Sementara itu, Presiden Dream Cruises, Thatcher Brown berkata, sebagai satu-satunya kapal pelayaran yang menyediakan masakan halal buat masa ini, pihaknya juga akan menawarkan katering halal di bilik mesyuarat khas untuk rakan bisnes dan korporat.

Katanya, menerusi Genting Dream yang berpangkalan di Singapura, penumpang Muslim boleh menikmati sajian halal sambil mengikuti percutian dua malam, tiga malam atau lima malam ke destinasi-destinasi menarik seperti Pulau Pinang, Phuket, Langkawi, Kuala Lumpur (Pelabuhan Klang), Surabaya, Bali Utara dan Pulau Macleod.