BIARPUN tewas 0-2 kepada Manchster City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Sabtu, pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan dia bersedia untuk terus berjuang untuk mengemudi skuad The Red Devils itu.
Menurut Solskjaer, biarpun skuad The Red Devils itu mengaami satu lagi episod kekalahan di laman sendiri musimj ini, namun dia tetap bersemangat untuk meneruskan tugasnya.
Katanya, biarpun kekalahan berkenaan memberikan tekanan hebat kepadanya, namun Solskjaer tetap percaya mampu menjalankan tugasnya dengan baik bagi membantu United.
"Saya berazam untuk melakukan apa yang termampu untuk memperbaikinya prestasi pasukan. Apabila anda tewas satu perlawanan menentang pasukan yang bagus, anda mahu melihat pasukan Man United yang lebih baik.
"Oleh itu, kami perlu tampil lebih agresif. Ia (rehat antarabangsa) tiba pada masa yang terbaik buat kami kerana kami sedang mengharungi tempoh yang sukar ketika ini," katanya.
Pada perlawanan berkenaan, pemain United, Eric Bailly menjaringkan gol sendiri bagi membuka jaringan buat pelawat pada minit ketujuh sebelum Bernardo Silva menjaringkan gol kedua buat pelawat pada minit ke-45.
Kekalahan itu menyaksikan United kini berada pada kedudukan kelima dengan 17 mata selepas mengharungi 11 perlawanna setakat ini.
Dalam pada itu bekas rakan sepasukan Solskjaer, Roy Keane menuntut agar dia lebih bertanggungjawab atas prestasi kurang memberangsangkan skuad The Red Devils itu ketika ini.
Keane yang juga merupakan bekas kapten United, menyifatkan Solskjaer perlu melakukan sesuatu dalam usaha mengembalikan pasukan berkenaan ke landasan kejayaan seperti sebelum ini.
"Ole perlu bertanggungjawab. Saya memperlahankannya sebelum ini tetapi dia sebagai pengendali, dia dan pembantunya perlu melihat perkara ini dengan serius.
"Selain itu bagi saya, pasukan ini tidak mempunyai personaliti dan pemain juga dilihat tidak bersemangat untuk berjuang.
"Oleh itu, mereka perlu kembali bersatu semula sebagai satu pasukan. Sekarang bukan masanya untuk bersantai kerana saya juga merasakan ada antara mereka yang tidak layak beraksi untuk Manchester United,” katanya.