Setiausaha Luar UK mulakan lawatan seminggu ke Asia Tenggara

Iklan
Liz Truss. Foto Reuters

KUALA LUMPUR - Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Liz Truss tiba di Malaysia pada Ahad untuk memulakan lawatan seminggu ke Asia Tenggara bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dengan negara yang diramal berkembang pesat dan menjadi semakin penting.

Selain Malaysia, Truss juga dijadual melawat Thailand dan Indonesia.

Iklan
Iklan

Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan Setiausaha Luar percaya hubungan UK dengan negara utama di Asia Tenggara kurang memberangsangkan dan usaha mempererat hubungan mampu membuka lebih banyak peluang dan pekerjaan kepada UK sambil meningkatkan keselamatan dan kemakmuran di rantau ini.

Lawatan Liz Truss juga bertujuan membina hubungan lebih akrab dalam pelaburan prasarana di rantau ini serta meningkatkan usaha menerusi Inisiatif Hijau Bersih menerusi pelaburan dalam infrastruktur mampan, serta berdaya tahan bersama rakan dan rakan kongsi.

Iklan

"Saya mahu menempatkan Britain di mana pertumbuhan masa depan berlangsung dan memikirkan siapa yang bakal menjadi rakan kongsi utama kami pada 2050 dan seterusnya.

"Asia Tenggara akan menjadi enjin untuk ekonomi global dan saya mahu Britain menjadi sebahagian daripadanya, meningkatkan ekonomi kami serta hubungan keselamatan dengan rantau ini akan mencerminkan kedudukannya yang semakin penting,” menurut kenyataan itu yang memetik Truss.

Iklan

Ini adalah lawatan pertama Truss ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak dilantik menjadi Setiausaha Luar pada September 2021.

Ia juga menjadi lawatan pertama Setiausaha Negara ke rantau ini sejak UK secara rasmi menjadi Rakan Dialog ASEAN pada Ogos tahun ini.

"ASEAN adalah pasaran yang mempunyai 650 juta orang, diramal menjadi pasaran tunggal keempat terbesar menjelang 2030 dan dagangan antara UK dan ASEAN ketika ini bernilai hampir £34 bilion pada 2020.

"Semua tiga ekonomi yang bakal dilawati diunjurkan tumbuh pada kadar lebih pantas berbanding ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) sehingga 2050. Indonesia diramal akan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih empat kali ganda iaitu 532 peratus antara 2020 dan 2050 dengan peningkatan di Malaysia dan Thailand masing-masing sebanyak 393 peratus dan 258 peratus,” menurut kenyataan itu.

Truss turut dijadual bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Selain itu, beliau juga dijadual memeterai Memorandum Persefahaman mengenai penjagaan kesihatan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau kemudian akan berlepas ke Thailand sebelum ke Indonesia. - Bernama