BARISAN pelumba Tune Boss Pink Racing (TBPR) tdak perlu berasa kecewa meskipun berdepan prestasi tidak menentu pada saingan Pusingan 7 dan 8 kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berakhir di Litar Lumba Tangkak.
Sebagai pendatang baharu dalam kejuaraan nasional berprestij itu, mereka seharusnya berasa bangga kerana tetap mampu memberi saingan kepada barisan pelumba lain yang memiliki pengalaman luas dalam sukan dua roda itu.
Tiada apa yang perlu dikecewakan – sebaliknya mereka harus bermegah kerana telah berjaya melonjakkan nama pasukan yang belum pun mencecah usia ‘setahun jagung’ itu di landasan yang betul dalam Cub Prix.
Pasukan yang baharu ditubuhkan akhir tahun lalu itu memang diakui berada dalam keadaan serba kekurangan berbanding pasukan elit lain dalam Cub Prix, tetapi ia tidak melunturkan semangat pengurusan pasukan bagi memacu Tune Boss Pink Racing ke landasan yang tepat.
Tampil dalam keadaan yang serba kekurangan itu sebenarnya sudah menjadi satu kemenangan buat barisan pelumba TBPR kerana mereka tetap bersatu hati dalam misi untuk membawa pasukan tersebut ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.
Hanya masa yang akan menentukannya - dengan syarat semua pelumba serta kru pasukan terus mengamalkan semangat kekeluargaan tanpa mengira latar belakang. Andai berupaya meraih kejayaan suatu hari nanti di Cub Prix, TBPR pasti berada dalam perhatian para penaja.
Minggu ini TBPR bertandang ke Litar Lumba Tangkak Johor tanpa mengharapkan sebarang kejutan pada saingan Pusingan 7 dan 8. Mereka tidak mengimpikan penamat podium dan jika ia berlaku, ia adalah satu bonus.
Misi mereka adalah untuk meneruskan perjuangan dengan harapan para pelumbanya tetap berupaya meraih mata kejuaraan dan ternyata hasrat tersebut tidak menghampakan.
Para pelumbanya terus gagah meraih mata kejuaraan meskipun bersaing dengan keadaan jentera mereka yang tidak seratus peratus sempurna. Namun, mereka masih mampu melontarkan saingan sengit – dan ini mungkin sudah boleh dianggap satu kemenangan buat TBPR.
Mengimbas aksi saingan Pusingan 7 pada Sabtu, barisan pelumba TBPR wajar berbangga kerana dua pelumbanya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik ketika sesi kelayakan kelas CP125.
Harith Farhan Baharin muncul pelumba keempat terpantas pada sesi kelayakan itu manakala Saiful Azhary Muhamad berada di tempat kelapan.
Kejayaan itu membuktikan barisan pelumba TBPR mampu memberi saingan ketika jentera yang mereka tunggang tidak berada dalam situasi seratus peratus sempurna.
Meskipun gagal meraih kedudukan terbaik pada perlumbaan akhir, namun Harith menamatkan perlumbaan Pusingan 7 itu di kedudukan ke-10, sekali gus meraih 6 mata kejuaraan manakala seorang lagi pelumba TBPR, Siti Norafizah Mohamad @ Fifi tampil berbangga untuk berada di kedudukan ke-15 dengan meraih satu mata.
Malang bagi Saiful pada perlumbaan tersebut kerana dia gagal menamatkan perlumbaan gara-gara masalah mekanikal.
Perlumbaan akhir kelas CP125 pada Pusingan 7 itu dimenangi pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing team, Md Hafiza Rofa.
Pada Ahad, episod duka kembali dilalui oleh Saiful yang sekali lagi gagal menamatkan perlumbaan pada saingan Pusingan 8.
Impiannya untuk melakar kejutan di kampung kelahirannya tidak kesampaian dan terpaksa meninggalkan litar kerana berdepan masalah dengan jentera yang ditunggangnya.
Namun, semangatnya tidak pernah luntur dan bertekad untuk kembali berjuang pada baki dua pusingan yang akan berlangsung di Sepang dalam tempoh dua minggu lagi.
Meskipun gagal mencipta sebarang kemenangan podium, namun kem TBPR sentiasa ceria kerana para pelumbanya tetap tidak mengecewakan.
Dalam keadaan yang tidak seratus peratus sempurna, para pelumbanya masih mampu meraih mata kejuaraan dan hari ini (pada Pusingan 8) Harith Farhan sekadar berbangga menghuni kedudukan ke-14 untuk meraih dua mata. Fifi pula menamatkan perlumbaan akhir Pusingan 8 itu di kedudukan ke-17.
Perlumbaan akhir Pusingan 8 hari ini, sekali lagi didominasi oleh pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Md Hafiza Rofa.
Ia tetap pencapaian yang boleh di bangga buat pasukan kerdil seperti TBPR – lebih-lebih lagi dengan semangat juang mereka yang tidak pernah luntur dalam setiap pusingan yang diharungi.
Malah, kejayaan mereka bukan sekadar berupaya meraih mata kejuaraan, sebaliknya sudah berjaya menjejak kaki di podium kemenangan menerusi Harith Farhan pada saingan di Sepang dan Terengganu sebelum ini.
Justeru, tiada apa yang perlu dikecewakan kerana mereka kini sedang melalui satu proses untuk berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan elit yang lain.
Selepas berakhirnya saingan Pusingan 7 dan 8 di Litar Lumba Tangkak pada Ahad, pasukan TBPR kini berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori pasukan dengan meraih 98 mata.
Bagi kategori pelumba pula, Farhan berada di kedudukan kelapan keseluruhan dengan mengumpul 67 mata manakala Fifi di kedudukan ke-14 dengan 20 mata.
Saiful yang baharu menyertai pasukan TBPR pada Pusingan 3 lalu, boleh dikatakan agak cemerlang dan kini dia berada di kedudukan ke-18 dengan 12 mata.
Kedudukan pendahulu keseluruhan bagi kelas CP125 kini diterajui pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley yang sudah meraih 150 mata.
Kejuaraan ini akan bersambung pada 17 hingga 19 Disember nanti dengan dua lagi pusingan bakal dilangsungkan iaitu Pusingan 9 dan 10 di Litar Sepang Utara.