SHAH ALAM - Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) merayu kepada kerajaan untuk membantu industri bas sekolah dengan memberikan bantuan khas sebanyak RM1,500 sebulan bermula November sehingga Disember 2021 untuk sebuah bas sekolah.
Pengerusinya, Mohd Haron Mohd Sidik berkata, bantuan tersebut dapat mengurangkan beban pengusaha-pengusaha bas sekolah untuk insurans, pemeriksaan Puspakom, baik pulih bas, membayar gaji pemandu dan kos minyak bas.
Menurutnya, ia berikutan jumlah murid yang dihantar ke sekolah tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa masih bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah disebabkan jumlah kes harian Covid-19 yang tinggi.
"Sekolah dibuka secara bergilir-gilir bermula pada Isnin, tetapi jumlah penumpang yang menaiki bas sekolah tidak sampai 10 orang kerana ibu bapa bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan ramai murid belum mendapat dos kedua suntikan vaksin Covid-19.
"Semua ini merencatkan operasi bas-bas sekolah Malaysia dan tidak dapat menampung kos operasi mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohd Haron berkata, ramai pengusaha mengeluh dan bimbang dengan hala tuju industri bas sekolah di Malaysia.
Ujarnya, mereka berasa tidak berbaloi untuk beroperasi pada bulan ini dan Disember kerana jumlah penumpang yang sedikit.
"Gaji pemandu, caruman untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pinjaman balik bank atau kredit perlu dibayar tanpa sebarang alasan, malah ia tidak termasuk bas-bas yang perlu membuat pemeriksaan berkala di Puspakom.
"Sebelum ke Puspakom, pengusaha perlu membeli insurans, cukai jalan selain baik pulih bas-bas yang telah lama tidak digunakan.
"Ramai pengusaha mengeluh dan tidak mampu untuk beroperasi jika penumpang mereka tidak ramai, beli minyak diesel atau petrol pun sudah tidak mampu," katanya.