Korbankan usia remaja jaga bapa, adik

Iklan
Fadzli(dua,kanan) ketika menyampaikan sumbangan peribadi MB kepada Kamarudin (tengah) dan Nor Asyura(tiga,kiri) baru-baru ini.

RAUB - Tiada apa yang lebih membanggakan bagi seorang remaja selain melupakan seketika pelbagai aktiviti sosial semata-mata untuk mengambil tanggungjawab mengurus rumah dan menjaga bapa serta adik bongsunya sejak ibunya meninggal dunia dua tahun lalu.

Nor Asyura Kamaruddin, 18 dari Kampung Kuala Keloi, Dong di sini memberitahu dia perlu membahagikan masa sebaik mungkin antara pelajaran dan keluarganya untuk menghadapi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun depan.

Iklan
Iklan

Pelajar Tingkatan Enam Rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong itu berkata, sejak ibunya, Zainun Bidin meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang pada 2019, dia mengambil alih menguruskan keperluan bapa dan adiknya, Nor Bahiyah,7

"Malah ayah, Kamaruddin Mat Yassin,62 juga turut menderita penyakit kencing manis, jadi saya perlu uruskan keperluan ayah.

Iklan

"Saya anak ketiga dari empat beradik manakala dua lagi abang saya sudah memiliki keluarga masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bercerita lanjut,Nor Asyura berkata, sudah menjadi rutin hariannya menyiapkan ayah dan adiknya setiap pagi dengan menyediakan sarapan, memberi ubat serta menghantar Nor Bahiyah ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pamah Kulat sebelum dia menuju ke SMK Dong.

Iklan

"Kadang-kadang saya sering lewat sampai ke sekolah kerana perlu hantar adik ke sekolah terlebih dahulu dengan menggunakan motosikal, bagaimanapun saya bersyukur kerana pihak sekolah memahami situasi yang saya lalui ini.

"Saya akui bila berada di sekolah kadang-kala risau memikirkan keadaan ayah di rumah, jadi sebaik tamat sahaja sesi persekolahan, saya akan bergegas pulang ke rumah selepas mengambil adik," jelasnya.

Dalam pada itu, Nor Asura mengakui dia sedikit pun tidak terkilan menghabiskan zaman remajanya dengan berbakti kepada keluarganya.

Nor Asyura (kanan) menjaga ayahnya, Kamaruddin dan Nor Bahiyah sejak ibunya meninggal dunia dua tahun lalu.

"Saya kini hanya ada ayah, ibu pun sudah tiada, jadi saya akan berusaha untuk menjaga ayah dan adik dengan sebaik mungkin.

"Saya tak kisah tak dapat keluar ke mana-mana seperti rakan-rakan remaja lain kerana saya sendiri lebih suka berada di rumah," jelasnya lagi.

Ditanya mengenai perbelanjaan keluarganya, Nor Asura berkata, mereka bergantung dengan pencen bulanan ayahnya yang sebelum ini merupakan kakitangan di Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Buat masa ini, saya gunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin untuk perbelanjaan rumah dan kalau ada urusan untuk hantar ayah ke hospital, abang-abang akan uruskan," ujarnya.

Dia juga berazam untuk memenuhi impian arwah ibunya untuk bergelar seorang peguam suatu hari nanti.

"Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memenuhi impian arwah ibu walaupun sukar, tidak mustahil jika berusaha bersungguh-sungguh," jelasnya juga berminat dengan kerjaya pendidik.

Sementara itu, nasib keluarga tersebut turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyampaikan sumbangan peribadi menerusi wakilnya, Pegawai Khas MB, Fadzli Mohamad Kamal baru-baru ini.

Menurut Fadzli, pengorbanan besar serta kecekalan remaja itu amat dikagumi dan berharap kegigihan Nor Asyura dapat dicontohi remaja lain.